ZAMANI sakit tulang belakang. FOTO - Arkib NSTP
ZAMANI sakit tulang belakang. FOTO - Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Walaupun nampak stabil, penyanyi Zamani Slam sebenarnya bimbang dengan keadaan kesihatannya apabila membuat keputusan menyertai program nyanyian Gegar Vaganza 5.

Zamani, 47, berkata, dia sudah lama menderita sakit tulang belakang bengkok dan memerlukan ubat tahan sakit yang dibekalkan doktor.

Malah, penyakitnya juga semakin teruk sehingga melarat membawa ke bahagian perut.

“Saya faham format program ini memerlukan saya menyanyikan lagu-lagu artis lain dan bukan genre yang sinonim dengan saya.

“Siapa tahu saya mungkin akan diberikan lagu dangdut yang memerlukan saya menari, tapi awal-awal lagi saya sudah jelaskan kepada penerbit berkenaan masalah penyakit saya.

“Bukan saya cari alasan kerana mungkin susah sikit untuk saya berbuat demikian. Tapi saya akan cuba mana yang termampu,” katanya kepada Harian Metro.

Zamani berkata, dia perlu mengehadkan pergerakannya agar tidak terlalu lasak kerana penyakitnya ini bukan main-main.

“Pihak produksi faham tapi saya sendiri beritahu selagi saya boleh saya akan buat dan sekiranya berlebihan saya kena beritahu mereka,” katanya.

BAKAL tampil dengan single terbaru bersama Slam. FOTO - Arkib NSTP.
BAKAL tampil dengan single terbaru bersama Slam. FOTO - Arkib NSTP.

Dalam pada itu Zamani turut menjelaskan akan kembali menghasilkan single terbaru bersama Slam tidak lama lagi.

“Perancangan memang ada. Lagipun kami akan terbabit dalam satu persembahan di Damansara pada Disember nanti.

“Sudah terlanjur kami berkumpul, timbul perancangan untuk menghasilkan single terbaru Slam. Cuma ia belum dimuktamadkan dan saya tak boleh terlalu menghebahkannya,” katanya.

Menurutnya, anggota Slam yang lain iaitu Eddie (keyboard) dan Shah (gitar) juga berminat untuk kembali menghasilkan single terbaru dan sedang berbincang lanjut.

“Kira-kira 20 tahun Slam tak menghasilkan lagu dan saya amat teruja. Bagi saya, apapun yang berlaku, Slam adalah keutamaan saya.

“Untuk projek ini Slam akan berdikari menghasilkan lagu-lagu sendiri. Kami nak buat sesuatu yang baru dan konsepnya mungkin tak sama macam dulu.

“Mungkin konsepnya tak lari jauh tapi ini adalah muzik Slam yang kami kehendaki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 5:51 PM