CHRISTIAN Sugiono

Bergelar selebriti yang terkenal di Indonesia barangkali bukan tugas mudah buat Christian Sugiono.

Ada banyak dugaan perlu ditempuh walaupun sudah berumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata.

Kata suami kepada aktres Titi Kamal itu, dia tiada masa melayan godaan wanita yang cuba mengambil kesempatan sekali gus menghancurkan keharmonian rumah tangga yang dibina.

“Saya dan isteri sudah bercinta hampir 20 tahun. Jadi kami sudah tahu luar dalam cerita kami berdua.

“Bagi saya, pada usia 37 tahun dan mempunyai dua anak, ia bukan waktu untuk bermain cinta atau curang dengan isteri.

“Bagi saya, hal seperti itu sudah lewat meski pun ada banyak godaan yang datang. Ini kerana saya perlu bertanggungjawab kerana sudah ada anak dan isteri,” katanya.

Tambahan pula, status sebagai selebriti membuatkan dia lebih berhati-hati agar tidak terjerat.

“Semua orang mengenali saya sebagai selebriti dan suami kepada Titi.

“Jadi banyak perkara yang perlu saya jaga supaya tidak memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan orang lain.

“Saya juga tidak mahu terpalit dengan cerita kurang enak. Saya mahu nama bersih tanpa sebarang kontroversi.

“Lagipun saya perlu menjadi contoh terbaik buat anak-anak saya yang sedang membesar,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan filem seram lakonannya, Sabrina baru-baru ini.

Pelakon itu diterbangkan ke Kuala Lumpur bersama dua lagi teman gandingannya, Luna Maya dan Sara Wijayanto sempena promosi filem terbabit yang menemui penonton sejak 18 Oktober lalu.

Memegang watak sebagai Aiden iaitu suami kepada Maira, filem itu debut pertamanya dalam naskhah seram.

Selama ini Christian terkenal sebagai pelakon sinetron yang banyak membawakan genre karya romantik atau komedi.

Christian berkata, sebab utama dia menerima tawaran membintangi Sabrina kerana tertarik dengan jalan cerita selain barisan pemain hebat yang mampu menjanjikan kejayaan buat filem yang menjalani penggambaran selama dua bulan iaitu pada Februari hingga April lalu.

“Kalau kita mahu berbicara mengenai filem seram di Indonesia, kekerapan penghasilannya boleh dikatakan berlaku setiap tahun. Sama ada ia dibikin secara murah atau mahal, semuanya boleh dijual.

“Cuma untuk saya menerimanya bukan semudah seperti memejamkan mata. Saya lihat daripada banyak aspek sebelum terima sesuatu karya terutama produksi, pemain dan jalan cerita. Sebab itu ketika membaca skrip Sabrina, ia sangat berbeza dan ada perubahan plot menarik untuk penonton pada akhir jalan cerita,” katanya yang teruja menantikan reaksi penonton di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 7:00 AM