BENLADIN bersama sebahagian pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota, Felda Apeng Timur, Kota Tinggi Johor.

Syafil Syazwan Jefri

[email protected]

MENJADI penyanyi sejak usia muda memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada penyanyi Benladin untuk berkarya.

Siapa sangka, selepas beberapa tahun bekerja keras, lagu nyanyiannya, Hikayat Benladin mendapat tempat di hati peminat sehingga menjadi fenomena.

Di YouTube, lagu rap ciptaan Malique dan Dedeq itu sudah mencecah jumlah tontonan sehingga lebih 15 juta.

Fenomena itu juga berterusan sehingga ramai yang menghasilkan lagu ‘cover’ dan memuat naik ke YouTube.

Antaranya adalah versi ukulele yang dihasilkan pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Mahkota, Felda Apeng Timur, Kota Tinggi Johor.

Menurut penyanyi berusia 17 tahun itu, dia kagum dengan kesungguhan dan kemampuan 15 kanak-kanak yang berusia antara lapan hingga 12 tahun itu.

‘Saya sangat kagum dengan persembahan mereka. Sejujurnya, kesungguhan mereka membuatkan saya rasa sangat terharu,’ katanya.

Sebagai penghargaan, Benladin membuat kejutan kepada murid di sekolah terbabit dengan membuat kemunculan istimewa, baru-baru ini.

Kata Benladin, dia sendiri tidak menjangkakan sambutan sehebat itu diberikan padanya.

‘Sambutan daripada mereka sangat luar biasa. Dengan kemudahan terhad, itu tidak membataskan usaha mereka untuk menghasilkan persembahan yang hebat.

‘Selepas menonton video persembahan dan melihat sendiri Hikayat Benladin versi mereka secara langsung, saya sangat kagum,” katanya.

Benladin juga berharap, aktiviti sebegini dapat diteruskan pada masa depan sebagai terima kasih kepada sokongan peminat kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 8:01 AM