HAFIZ. FOTO Aziah Azmee
HAFIZ. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Hafiz Suip, 28, mengakui berat badannya menyusut dengan mendadak, namun menafikan ia berkaitan dengan apa-apa penyakit.

Menurut penyanyi lagu Bahagiaku Deritamu itu, dia menurunkan berat badannya dengan melakukan senaman.

Katanya, usaha itu untuk memberi inspirasi kepada dua protegenya, Azmirul dan Amal yang kini berada dalam program realiti, Mentor 7.

“Saya menekankan kepada mereka supaya menjaga kecergasan tubuh badan di samping menjalani latihan nyanyian.

“Saya tak mahu sekadar memberi nasihat, jadi, saya memilih untuk mencabar diri, dan bersama-sama mereka melakukan aktiviti kecergasan,” katanya.

Ditanya mengenai berat badannya terkini, Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip berkata, dia tidak mengetahuinya.

“Saya sendiri pun tak timbang. Tapi, saya yakin daripada apa yang saya rasa dan nampak... memang berat badan saya turun dengan agak banyak,” katanya.

Hafiz juga bersyukur kerana diberi peluang untuk terbabit sebagai mentor dalam program realiti yang disiarkan di TV3 itu.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi mentor.

“Sebelum ini, saya anggap diri saya adalah produk, dan kini, saya terbitkan produk baru iaitu protege saya,” katanya.

Dia kini memberikan sepenuh perhatian kepada program ini.

Selain Hafiz, barisan mentor lain adalah Datuk Syafinaz Selamat, Aizat Amdan dan Siti Nordiana.

Kesemua mentor, masing-masing, kini sudah memilih dua protege mereka

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 7:04 PM
Digital NSTP Subscribe