KEHADIRAN Axl bersama dua anggota asal Guns N Roses iaitu Slash dan Duff memang dinantikan peminat ketika konsert di Sunway Lagoon, Bandar Sunway, Subang Jaya, malam tadi. FOTO Asyraf Hamzah.
KEHADIRAN Axl bersama dua anggota asal Guns N Roses iaitu Slash dan Duff memang dinantikan peminat ketika konsert di Sunway Lagoon, Bandar Sunway, Subang Jaya, malam tadi. FOTO Asyraf Hamzah.
Riadz Radzi


KEPUASAN jelas terpancar buat lebih 20,000 penonton di Konsert Guns N Roses (GNR) - Not In This Lifetime di Surf Beach, Sunway Lagoon, Bandar Sunway, malam tadi yang rata-ratanya menunggu hampir 30 tahun untuk menyaksikan konsert kumpulan rock popular dunia itu.

Walaupun hujan hampir sepanjang konsert berlangsung, penonton tidak berganjak dan setia menyaksikan persembahan kumpulan dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu.

Walaupun GNR pernah mengadakan konsert di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2013, namun ia berbeza kerana ketika itu hanya penyanyinya, Axl Rose tampil selaku anggota asal.

Konsert kali memang dinanti-nantikan peminat mereka di Malaysia kerana GNR tampil dengan dua lagi anggota asalnya iaitu Slash (gitar) dan Duff McKagan (bass).

Tiga lagi anggota terkini GNR ialah Richard Fortus (gitar), Frank Ferrer (dram) dan Melissa Reese (keyboard), manakala Dizzy Reed (keyboard) menganggotai GNR sejak 1991.

Sebanyak 30 lagu dipersembahkan dalam konsert berdurasi hampir tiga jam itu termasuk lagu popular mereka antaranya It’s So Easy, Mr Brownstone, Welcome To The Jungle, Paradise City, Knockin On Heaven’s Door, Sweet Child O’Mine, Attitude, Chinese Democracy, November Rain, Don’t Cry dan Estranged.

Walaupun berpecah pada 1993, GNR tidak pernah berkubur apabila ia terus dihidupkan Axl tanpa Slash, Duff, Izzy Stradlin (gitar) dan Steven Adler (dram) serta anggota pada era album Use Your Illusion I & II seperti Matt Sorum (dram) dan Gilby Clarke (gitar).

Axl, Slash dan Duff kembali bergabung bagi merealisasikan impian peminat GNR dalam satu persembahan istimewa di Los Angeles pada 1 April 2016.

Sejarah itu tercipta di kelab malam The Troubadour di barat Hollywood, Los Angeles.

Lokasi itu cukup istimewa kerana di situlah GNR mengadakan persembahan pertama mereka pada 6 Jun 1985.

Di Asia Tenggara, selain Kuala Lumpur, GNR turut mengadakan persembahan di Jakarta dan Manila. Konsert di Kuala Lumpur dibawakan Galaxy Group.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:53 PM