Diana mahu belajar bidang penerbitan. FOTO HM Digital
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, Datin Diana Danielle ingin mendalami ilmu dalam bidang penerbitan memandangkan suaminya, Datuk Farid Kamil lebih cenderung ke arah pengarahan.

Menurut Diana, 27, dia yang akan melanjutkan pelajaran ke New York Film Academy (NYFA) ingin melebarkan lagi nama kedua-dua mereka ke dalam bidang penerbitan filem.

“Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar, saya akan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat pada Julai tahun depan selama dua bulan dalam bidang penerbitan.

“Ini adalah untuk mengembangkan lagi impian saya dalam bidang penerbitan filem di samping untuk merealisasikan impian saya dan suami untuk menubuhkan syarikat produksi,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya lagi, ilmu dalam bidang penerbitan juga akan memudahkannya untuk mengendalikan syarikat produksi mereka kelak.

“Farid lebih kepada bidang pengarahan, jadi saya akan lebih memberi fokus kepada penerbitan dan perjalanan syarikat produksi itu nanti,” katanya.

Diana akan menjalani kursus pendek selama dua bulan dan biaya pelajaran itu ditanggung oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

“Mereka memberikan ganjaran bernilai RM50,000 kepada saya sebagai imbuhan kemenangannya menerusi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Hanyut) Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) tahun lalu,” katanya.

Diana juga akan membawa keluarganya ke Los Angeles sepanjang tempoh pembelajarannya berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 6:29 PM