Muaz bersama isterinya menanti hari. FOTO Instagram


PENYAMPAI radio Kool FM, Muaz berkongsi khabar gembira apabila bakal menimang cahaya mata kedua pada Mac tahun depan.

Muaz atau nama sebenarnya Muazanazzudin Mohamed berkata, isterinya Ediana Aziz kini hamil tujuh bulan dan bakal dikurniakan bayi lelaki.

"Alhamdulillah, hasil pemeriksaan doktor hari ini mengesahkan kami akan menimang anak lelaki .

"Meskipun menyimpan hasrat untuk menimang anak perempuan tapi saya dan isteri okey saja asalkan bayi dalam kandungan ini sihat dan baik.

"Lagipun anak sulung saya, Emirza Mukhri memang nak adik lelaki supaya dia dapat bermain bersama nanti," katanya.

Menurut Muaz, anak sulungnya itu antara yang teruja dan tidak sabar untuk menantikan kehadiran adiknya itu.

"Saya terkejut apabila setiap kali sebelum dia pergi ke sekolah, dia akan mencium perut ibunya dan memberitahu adiknya dia mahu pergi ke sekolah.

"Seronok melihat gelagat Emir yang tidak sabar untuk bersama adiknya nanti," katanya.

Muaz dan Ediana mendirikan rumah tangga pada Februari 2013 dan anak sulungnya, Emirza kini berusia 5 tahun.

Dalam perkembangan lain, Muaz kini mengacarakan program bual bicara Borak Kopitiam setiap Jumaat hingga Ahad jam 7 pagi di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 7:40 PM