Tya bersama suaminya, Asyraf dan Arif. FOTO NSTP/AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri


“ARIF sama seperti kanak-kanak lain di usianya dan kalau dia nakal, saya dan suami minta maaf”.

Itu adalah luahan pelakon, Tya Arifin, 25, memberi penjelasan mengenai anaknya yang dikatakan nakal sehingga mencederakan kanak-kanak lain.

Tambah Tya, sebagai ibu bapa, dia dan suami, Asyraf Khalid, sentiasa mengajar dan memberikan didikan kepada anak mereka supaya menjadi anak yang baik.

“Kami sebagai ibu bapa sentiasa mendidik Arif supaya membesar sebagai anak yang baik. Namun, ada kalanya, dia pun tidak faham apa yang kita ajar.

“Namun, alhamdulillah, semakin hari, dia semakin faham dengan apa yang kami katakan dan ajar,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai kejadian yang dikatakan berlaku di satu acara di Singapura hujung minggu lalu, Tya dan Asyraf meminta maaf kepada keluarga kanak-kanak itu.

“Dia masih kanak-kanak dan kadang-kadang, sedang dia seronok bermain, ada peminat datang dan minta bergambar.

“Jadi, kalau ada reaksi dia yang dianggap nakal, saya minta maaf. Ada ibu bapa yang faham bila kami jelaskan, tapi mungkin juga ada yang tidak faham,” katanya.

Tya juga akan lebih memerhatikan Arif selepas ini dan akan menegurnya.

Isu itu timbul apabila ada netizen menulis satu kenyataan di Twitter yang mengatakan bahawa Arif bertindak nakal dan membuli seorang kanak-kanak.

Asyraf kemudiannya membalas ‘tweet’ itu dan memohon maaf kepada keluarga kanak-kanak terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 3:52 PM