GAMBAR yang dimuatnaik Izreen di Instagram. FOTO Instagram Izreen Azminda
GAMBAR yang dimuatnaik Izreen di Instagram. FOTO Instagram Izreen Azminda
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Izreen Azminda berkongsi hamil anak kedua dengan usia kandungan mencecah tiga bulan.

Izreen, 34, atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam berkata, dia turut mengalami alahan teruk berbanding kehamilan pertama enam tahun lalu.

“Alhamdulillah, ini rezeki buat saya dan suami. Selepas lebih setahun berkahwin, Allah SWT berikan nikmat ini pula. Insya-Allah, saya dijangka bersalin Julai ini.

“Cuma, kehamilan kali ini tak macam yang pertama. Saya kena alahan teruk hingga tidak boleh langsung buat kerja berat. Jika tidak, saya akan mudah berlaku pendarahan.

“Selepas peringkat pertama kehamilan, saya sudah okay sikit. Setiap hari saya berdoa semoga segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan hingga bersalin nanti. Saya juga berharap anda doakan yang baik-baik untuk saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Izreen, disebabkan keadaannya itu, dia terpaksa menolak tawaran beberapa drama kerana tidak mahu menyusahkan produksi.

Perkara itu sekali gus menafikan laporan media yang mendakwa dirinya tidak mendapat sebarang tawaran berlakon sejak berkahwin dengan pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude.

“Sejak Oktober lagi saya sudah terima banyak tawaran berlakon drama. Cuma, saya terpaksa tolak cara baik selepas tahu saya hamil.

”Ditambah pula dengan keadaan dan kesihatan yang tidak menentu ketika itu sukar untuk saya memberikan sepenuh komitmen. Saya tak nak menyusahkan kru dan pelakon lain. Ketika kehamilan pertama, saya sangat aktif.

“Apa pun, saya nak berterima kasih kepada penerbit dan stesen TV yang masih percayakan bakat saya. Jadi, dakwaan saya tidak ada tawaran berlakon seperti dilaporkan baru-baru ini adalah tidak benar. Saya tak nak beritahu perkara sebenar sebab usia kandungan masih awal,” katanya.

Izreen yang pernah memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2013 berkata, buat masa sekarang fokus lebih kepada keluarga.

“Saya sentiasa percaya kepada ketentuan dan rezeki Allah. Pada tahap sekarang, saya tidak mahu lagi ambil peduli cakap-cakap orang.

“Apa yang penting, saya ada suami dan kedua belah keluarga yang sentiasa menyokong. Malah, fokus saya juga pada mereka dan membesarkan anak-anak.

“Insya-Allah, kalau kesihatan saya mengizinkan mungkin boleh berlakon telefilem dulu. Sebab ia tak ambil masa panjang. Selepas itu, kena tunggu hingga habis bersalin dan berpantang,” katanya.

Ditanya mengenai jantina anak, Izreen menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Allah SWT.

“Saya dan suami tidak kisah mengenai jantina anak. Asal saja, bayi yang bakal lahir sempurna dan sihat,” katanya.

Izreen dan Ude berkahwin pada 8 Ogos 2017.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Izreen dikurniakan anak lelaki iaitu Adrian Umar yang kini berusia enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 1:26 PM