Farihad Shalla Mahmud


ANAK sulung penyanyi, Nora Ariffin, Mohd Syakir Iman Johan, 26, selamat bergelar suami kepada pasangannya, Putri Eliya Sofea Azman, 22, dengan sekali lafaz di Masjid Putra, Putrajaya, 12.30 tengah hari ini.

Mohd Syakir Iman atau lebih dikenali sebagai Mosyi dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Azman Ya'acob, di hadapan Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abd Manaf Mat.

Pada majlis itu, Syakir yang pernah muncul dengan single berjudul Bulan menyerahkan wang hantaran RM20,000 dan mas kahwin RM80 berserta lima dulang hantaran kepada pengantin perempuan, berbalas tujuh.

Mengulas pemilihan tarikh 19 Januari sebagai detik untuk disatukan dengan Sofea, Syakir berkata, selain mudah untuk diingati, tarikh berkenaan juga berdekatan dengan hari kelahirannya.

“Kebetulan tarikh lahir saya jatuh pada 16 Januari, jadi senang nak ingat nanti. Lagipun, angka 19119 sangat cantik,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

NORA Ariffin ketika majlis akad nikah anaknya, Mohamad Syakir kepada Puteri Eliya (gambar kecil) di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
NORA Ariffin ketika majlis akad nikah anaknya, Mohamad Syakir kepada Puteri Eliya (gambar kecil) di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Sementara itu, Nora dilihat mengalirkan air mata sebaik sahaja Syakir selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya.

Kata penyanyi Ada Dalam Tiada itu, hatinya tersentuh kerana terkenang arwah suami, Johan Nawawi, saat mereka sekeluarga berkongsi detik cukup bermakna berkenaan.

"Rasa sedih juga kerana arwah tidak dapat menyaksikan anak kami bergelar suami, hari ini. Ketika Syakir bertunang dulu, dia ada bersama.

“Dialah juga yang berpesan supaya jangan bertunang lama-lama. Apa pun, saya lega kerana amanat arwah untuk melihat Syakir dan Sofea bernikah awal terlaksana," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 3:43 PM