AKSI Sarah dan Nabil dalam salah satu babak drama Pujaan Hati Kanda. FOTO Ihsan Instagram Sarah Hildebrand
Ramlah Zainal


“KAMU masih belum kahwin, tapi memang ada perancangan ke arah itu. Hubungan kami juga serius sepanjang tempoh hampir lima tahun bercinta.

“Justeru, saya harap peminat dan netizen doakan yang baik-baik buat kami,” kata pelakon Sarah Hildebrand, 29, ketika mengulas dakwaan dia sudah berkahwin dengan pengacara Nabil Mahir seperti didakwa.

Menurut Sarah yang dikenali dengan watak Nadine dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda di Slot Akasia TV3, gosip yang mendakwa dia sudah berkahwin dengan Nabil mula diperkatakan ramai sejak 2017.

“Pada peringkat awal dulu, saya memang berasa tekanan bila sering ditanya soal kahwin.

“Namun, kini, tidak lagi. Saya sudah boleh terima dan matang setiap kali ditanya soalan peribadi seperti itu, kerana soal jodoh adalah urusan Allah,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya perancangan untuk berkahwin pula, kata pelakon berdarah kacukan Melayu-Amerika Syarikat itu, dia dan Nabil memang ada berbincang perkara itu.

“Memang kami ada berbincang soal kahwin, dan keluarga kedua belah pihak merestui hubungan ini tetapi bukan dalam tempoh terdekat ini.

“Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, kami merancang untuk berkahwin pada tahun depan.

“Buat masa ini, saya dan Nabil mahu fokus pada karier seni terlebih dulu kerana nama pun semakin meningkat naik ketika ini,” katanya.

Terdahulu, Sarah memuat naik gambarnya dengan Nabil dalam salah satu babak dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda di laman Instagramnya, baru-baru ini.

Dalam drama bersiri itu, Nabil turut membuat penampilan dan melakonkan watak Fikri sekali gus kemesraan mereka mencuri perhatian netizen.

Rata-rata netizen memuji mereka pasangan kekasih yang sepadan dan tidak kurang yang turut mempersoalkan sama ada mereka sudah berkahwin atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 2:31 PM