JAMAL mahu Zaki jadi tokoh agama. FOTO Rosela Ismail.
Ridzuan Abdul Rahman


Datuk Jamal Abdillah berhasrat untuk melihat anak keduanya, Ahmad Zaki Yamani, 13, mendalami ilmu agama sebagaimana datuknya, Allahyarham Mohd Ali yang aktif memberi pendidikan agama ketika hayatnya.

Jamal, 60, berkata, berbanding dengan abangnya, Osama Yamani, 18, yang meminati muzik, Zaki lebih cenderung kepada bidang akademik.

“Saya juga berhajat melihat dia menjadi tokoh agama seperti Mufti. Arwah bapa saya seorang yang kuat mendalami agama. Ketika hayatnya, dia berhasrat melihat anak-anak mengikut jejak langkahnya, tetapi tidak ada seorang pun yang ikut.

“Jadi, saya memang berniat nak lihat Zaki menjadi seorang tokoh agama apabila dewasa nanti. Saya akan berbincang dengan ibunya, Fatimatuzahrah Samad dan neneknya nanti untuk menghantar dia ke sekolah yang sesuai kerana mereka lebih arif mengenai perkara ini,” katanya.

Jamal berkata, sebelum ini dia menghantar Zaki belajar di sekolah antarabangsa, namun selepas tiga tahun, anaknya ditukar ke Sekolah Islam Integrasi.

Menurut Jamal, Zaki sebenarnya turut mempunyai jiwa seni dan mahir dalam genre rap.

“Bagaimanapun, ibunya tak benarkan. Lagipun neneknya adalah bekas pensyarah di UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan tentunya mereka lebih suka dia cenderung kepada akademik,” katanya.

Mengulas mengenai Osama pula, Jamal mahu melihat anak sulungnya ini melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di universiti.

“Apabila saya sedar dia ada bakat dalam seni, saya masukkan dia dalam Sekolah Seni di Johor. Hasilnya selepas lima tahun, saya tengok dia boleh kendalikan satu orkestra dan bermain gitar secara profesional.

“Dia sudah buktikan kemampuannya apabila beraksi dalam konsert Duo Legenda bersama saya dan Datuk M Nasir di Istana Budaya, baru-baru ini,” katanya.

Jamal berkata, pihak UiTM turut memintanya merakam persembahan Osama untuk dijadikan sebagai bahan uji bakat untuk belajar di situ.

“Saya buat apa yang diminta sebagai syarat permohonan nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 5:56 PM