WAROENG Isabella yang diusahakan Nabila bersama Mohd Izwan.
Sudirman Mohd Tahir


WAROENG Isabella di Rasta Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur yang diusahakan pelakon Nabila Huda bersama suami, Mohd Izwan Johar menyediakan makanan percuma kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas setiap hari yang sudah bermula kelmarin.

Nabila, 35, atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi berkata, idea itu datang daripada suaminya apabila melihat ramai golongan itu datang dan sanggup beratur membeli makanan.

“Suami suka perhatikan siapa pelanggan yang datang. Apabila dia melihat ramai golongan itu datang, dia terus cakap dengan saya yang mana umur lebih 60 tahun kami akan beri makan percuma.

“Dalam masa sama, ada juga wanita hamil datang. Dia cakap kena bagi ‘fast lane’ pada mereka. Kasihan jika dibiarkan berdiri walaupun barisan tak panjang.

“Paling menarik, pulang saja ke rumah suami akan bercerita setiap karakter orang yang datang. Apabila dia beritahu pelanggan gembira dan cakap makanan sedap, itu sudah cukup buat saya boleh tidur dengan senyuman,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nabila, mereka dalam perancangan memberi makanan sup percuma kepada kanak-kanak.

“Saya dan suami buka warung ini jauh sekali dengan niat nak hidup mewah. Kami nak berkongsi rezeki dan hidangkan orang dengan makanan yang sedap. Saya nak yang datang bukan sebab nama saya, tapi makanan itu.

“Insya-Allah selepas ini kami nak bagi makanan percuma untuk kanak-kanak pula. Cuma, buat masa sekarang sedang mencari siapa nak menyediakannya.

“Kami bermula dari bawah dan pakai modal apa yang ada. Hingga sekarang papan tanda pun belum ada lagi. Suami akan pergi sendiri ke pasar borong bagi membeli bahan masakan. Sebenarnya, setiap hari adalah proses pembelajaran buat kami,” katanya.

Dalam masa sama, Nabila menegaskan pemberian makanan percuma itu bukan bertujuan pemasaran sebaliknya ikhlas.

“Saya tak nak orang salah anggap dengan perkara ini. Dengan nama Allah, kami ikhlas. Bagi saya, mereka yang berusia 60 tahun ke atas tidak sepatutnya keluarkan duit untuk makan atau bekerja sebab anak yang patut menyara mereka.

“Paling tersentuh, apabila ada yang mendoakan kesihatan dan kejayaan buat kami sebab belanja mereka makan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 10:26 AM