ANNA Jobling nafi dalang sebar video babitkan bekas Juara Dewi Remaja 2018/2019. FOTO Instagram Anna Jobling
ANNA Jobling nafi dalang sebar video babitkan bekas Juara Dewi Remaja 2018/2019. FOTO Instagram Anna Jobling
Sudirman Mohd Tahir


PEMENANG tempat keempat program realiti Dewi Remaja 2018/2019, Anna Jobling menafikan dakwaan dia dalang penyebaran video parti membabitkan bekas juara program itu, Haneesya Hanee bersama dua finalis lain seperti yang tular baru-baru ini.

Anna, 19, berkata tuduhan itu adalah fitnah yang sengaja dilemparkan atas dirinya selain menganggap ia cakap-cakap segelintir pihak.

“Ingin dijelaskan, bukan saya yang sebarkan video itu. Saya nak bersihkan tuduhan ini. Setakat main tuduh saja, semua orang boleh cakap.

“Ia adalah fitnah kepada saya. Tetapi tak mengapa, saya maafkan mereka. Saya hanya mahu ‘move’ dan lupakan semua. Paling penting teruskan bersikap positif dengan orang sekeliling,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, perkara yang berlaku membuatkan dirinya terganggu apabila masyarakat memandang serong gelaran Dewi Remaja yang dimiliki.

“Selepas program ini kalau boleh nak terus berkawan dan sama-sama berjaya dalam industri. Tetapi, apabila perkara ini berlaku, ia turut membabitkan saya.

“Sedangkan sebagai dewi perlu menjaga imej dan menjadi contoh kepada remaja dan masyarakat amnya.

“Namun, perkara ini membuatkan kami jadi sebaliknya. Kami dah tak nampak seperti contoh yang baik. Persepsi masyarakat sedikit berubah. Jadi ia menyedihkan saya,” katanya.

Anna berkata, dia turut menjadi mangsa serangan netizen di Instagram dan Twitter.

“Mereka tak tahu cerita sebenar. Tapi, nak buat macam mana. Saya hanya buat tak tahu saja,” katanya.

Terdahulu, nama Anna hangat diperkatakan pengguna laman sosial apabila finalis yang didakwa berparti dan meminum arak itu memuat naik paparan skrin perbualan antara mereka.

Selain itu, beberapa status Anna di Twitter dikatakan ditujukan kepada individu terbabit sekali gus menguatkan lagi tuduhan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 1:09 PM