NAZIM Othman. FOTO Blackpepper Production
Sudirman Mohd Tahir

Tahun ini genap 10 tahun pembabitan pelakon kacak Nazim Othman dalam bidang seni.

Bukan sesuatu yang mudah untuk terus bertahan apatah lagi perlu bersaing dengan pendatang baru jauh lebih muda.

Sepanjang tempoh itu juga industri menyaksikan sisi matang Nazim, 35, atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman hingga mampu berada di kelas tersendiri.

Bagaimanapun, Nazim yang mencuri perhatian menerusi drama bersiri Lara Aishah mengakui masih ada yang kurang dalam kanvas seninya. Kepuasan yang dicari dalam lakonan belum ditemui.

Jika selama ini peminat drama Melayu dihidangkan dengan watak serupa iaitu orang kaya, korporat dan baik dalam kebanyakan naskhah lakonannya, ternyata jauh di sudut hati Nazim dia mengimpikan watak berbeza dan lebih mencabar.

Dalam erti kata lain, Nazim ingin keluar dari zon selesa sekali gus menjadi pelakon versatil yang mampu melakonkan apa saja watak.

“Saya sudah puas buat perkara sama untuk tempoh 10 tahun. Boleh dikatakan kebanyakan drama lakonan saya menampilkan watak serupa. Bukan tidak bersyukur atau ingin menidakkan rezeki Allah tetapi sebagai pelakon saya mencari kepuasan.

“Ini adalah profesion, jadi saya mahu ada perkembangan. Saya tidak mahu berada pada satu tahap atau dipanggil pelakon sterotaip kerana gemar melakonkan watak sama. Sedangkan, itu bukan keinginan saya.

“Apa saya perasan, orang sudah cop saya untuk watak sebegitu. Kalau membabitkan watak lain, kena bagi orang lain. Alasannya, saya tak sesuai disebabkan penampilan diri. Namun, keputusan itu berdasarkan persepsi mereka tanpa bertanya sama ada saya boleh buat atau tidak,” katanya.

Menurut Nazim, untuk melakonkan watak di luar kebiasaan sudah lama tersimpan dalam diri.

Malah, Nazim memberi jaminan jika peluang itu diberikan kepadanya dia mampu memberikan 200 peratus komitmen sebagai tanda sudah lama bersedia mempamerkan sisi lakonan yang tidak pernah dipertontonkan sebelum ini.

“Saya buat kajian mengenai tawaran watak lakonan yang diterima. Sebelum ini setiap kali menerima tawaran melakonkan watak korporat, saya bukan sekadar membaca skrip tapi lebih daripada itu. Saya mendekati golongan korporat untuk mengetahui gaya kehidupan mereka. Jadi, jika perlu mengeluarkan modal tambahan untuk pakaian bersesuaian, saya tidak berkira.

“Andai kata selepas ini saya dapat tawaran melakonkan watak tidak siuman, penagih dadah atau cacat, saya bukan sekadar membuat kajian mengikut kesesuaian karakter tapi tidak kisah tampil comot demi menghidupkan karakter itu.

“Apa ingin disampaikan, jangan lihat penampilan saya di Instagram kerana itu adalah kehidupan saya. Apabila berlakon, saya terbuka untuk menjadi siapa dan apa saja. Saya meletakkan diri seperti kain putih yang perlu dicorakkan. Jadi, saya memang yakin boleh merealisasikan watak lain jika diberi peluang. Saya tahu kemampuan dan kelebihan diri. Tinggal lagi, saya menunggu peluang itu,” katanya.

Nazim berkata, dia juga tidak malu menyuarakan hasratnya kepada penerbit dan stesen TV agar ditawarkan watak yang tidak pernah dilakonkan sebelum ini.

Malah, apa yang dibuat Nazim ketika ini adalah inisiatif sendiri bagi memastikan impiannya itu terlaksana.

“Sebelum ini saya pernah menyuarakan hasrat nak bawa watak lain kepada beberapa pengarah dan penerbit. Mereka cuba usahakan tetapi tiada peluang. Saya faham dan tak boleh menyalahkan mereka.

“Jadi, untuk tahun ini saya tekad keluar daripada kepompong kebiasaan. Dapat berlakon dalam telefilem saja pun tak apa. Kalau bukan watak utama sekali pun, saya tak kisah yang penting watak berbeza.

“Bagi saya, setiap watak ada peranan tersendiri dalam sesebuah cerita. Apabila kita berlakon untuk perkara yang kita suka, ia memberikan kepuasan berganda. Bukan nak kata diri bagus tetapi sudah sampai waktu untuk saya bergerak jauh ke depan. Tak nak kerjaya yang mendatar saja.

“Saya pula semakin berusia. Kalau bukan sekarang bila lagi nak dapat peluang ini? Lagi satu, kita juga tak tahu pengakhiran hidup bila. Biarlah ini menjadi impian tahun baharu saya,” katanya.

Berkongsi lanjut, Nazim menarik nafas lega apabila suara hatinya didengari pelakon dan penerbit terkenal, Sheila Rusly.

Nazim berkata, dia ditawarkan watak disleksia dalam sebuah telefilem arahan Jinggo yang bakal memulakan penggambaran Mac ini.

“Pada mulanya saya tengok lakonan Naim Daniel yang tampil sebagai orang kelainan upaya. Saya pun hantar video itu kepada sis (Sheila). Saya cakap alangkah menarik jika dapat berlakon watak sebegitu.

“Kebetulan sis beritahu dia ada naskhah baharu tetapi watak disleksia. Saya pun tawarkan diri. Cuma, dia perlu cadangkan nama saya kepada stesen TV dulu. Selepas dua bulan, Sis maklumkan khabar gembira nama saya diterima.

“Saya sangat terharu dan menghargai pertolongan sis yang sudi mencadangkan nama saya. Insya-Allah, ini menjadi watak pertama saya yang lain daripada kebiasaan. Tak sabar nak mulakan penggambaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 10:02 AM