PESONA Ari memukau penonton. FOTO Supian Ahmad.
Syafil Syazwan Jefri

KEHADIRAN kira-kira 7,000 penonton yang memenuhi Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu lalu bukti kukuh band legenda Indonesia, Dewa 19 kekal berbisa.

Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia yang berlangsung dengan jayanya menyaksikan penyatuan semula dua bekas vokalisnya, Ari Lasso dan Once Mekel di atas satu pentas.

Namun, dalam pada ribuan peminat ‘ghairah’ menghayati lagu yang dipersembahkan, rasa ralat tetap ada apabila Ahmad Dhani yang juga ‘mastermind’ konsert itu, tidak dapat turut serta.

Namun, semangat pemuzik itu masih dapat dirasakan apabila dia mengutuskan darah dagingnya, Abdul Qodir Jaelani atau Dul Jaelani menggantikan posisinya.

Pentas Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia dipanaskan dengan persembahan pembukaan oleh band dari seberang, Andra and the Backbone yang mempersembahkan sembilan lagu.


AURA Once hangatkan suasana. FOTO Supian Ahmad.

Band terkenal itu juga tidak melepaskan peluang mengalunkan lagu berhantu mereka, Sempurna yang turut dinyanyikan semua peminat.

Selesai sesi pembukaan itu, stadium bergema dengan sorakan peminat apabila Ari Lasso mengambil alih pentas dengan penuh bergaya. Menyampaikan 10 lagu hit Dewa 19, Ari kekal bertenaga bahkan vokalnya cukup mengagumkan. Lebih sejam beraksi dia tidak sedikit tampak keletihan sebaliknya bersahaja mengalunkan setiap lagu. Itulah pesona Ari yang membuatkan dirinya sukar ditandingi sekali gus punya posisi utuh di hati Baladewa dan Baladewi.

Air mata kerinduan Dul

Ketika Ari menyampaikan lagu medley Hadapi Dengan Senyuman dan Cintakan Membawamu Kembali, suasana seisi stadium bertukar sebak.

Turut dipertontonkan di layar raksasa video ucapan Dhani yang memohon doa daripada peminatnya.

“Kepada peminat di Malaysia, saya mohon supaya sentiasa mendoakan saya terus kuat,” katanya menerusi rakaman video.


DUL menampilkan persembahan cemerlang. FOTO Supian Ahmad.

Turut mencuri tumpuan apabila persembahan lagu medley itu diiringi petikan keyboard dimainkan Dul Jaelani yang tidak dapat menahan kesedihan dan air matanya menitis laju. Rata-rata peminat dapat merasai kesedihan pemuzik remaja berbakat besar itu malah ada yang turut sama menangis.

Selesai segmen Ari Lasso, konsert diteruskan dengan persembahan energetik Once Mekel.

Membuka persembahan dengan Pangeran Cinta, Once nampaknya masih punya ‘kuasa sakti’ dalam memukau penonton.

Selain Pangeran Cinta, Once turut mempersembahkan 11 lagu lain termasuk Dewi, Angin, Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia, Pupus dan Arjuna.


BALADEWA dan Baladewi memenuhi stadium. FOTO Supian Ahmad.

Menurut Once, kemunculan semulanya di Stadium Malawati mengimbau memori lama.

“Saya pernah buat persembahan di sini beberapa tahun lalu,” katanya.

Beberapa ketika kemudian, muncul semula Ari Lasso dan bergabung tenaga dengan Once mempersembahkan beberapa lagu duet termasuk Kangen, Kamulah Satu-Satunya dan Separuh Nafas.

Mengakui rasa ralat tanpa kehadiran Dhani, Ari meluahkan rasa kagumnya dengan rakan seperjuangannya itu.

“Tanpa Dhani pun, peminat sudah ramai

sebegini. Kalau dia ada, saya yakin jumlah peminat akan lebih ramai daripada ini,” katanya.

Meskipun ada gangguan sistem bunyi, ia sama sekali tidak melunturkan keterujaan penonton untuk menghayati konsert itu.

Apa yang pasti Baladewa dan Baladewi pulang dengan senyuman puas selepas sedekad tidak menyaksikan persembahan berskala besar daripada band tersohor itu di negara ini. Sememangnya, kehebatan Dewa 19 sukar ditandingi dan kekal luar biasa!

Turut hadir Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.


ANGGOTA Dewa 19 puas dapat menghiburkan peminat di Malaysia. FOTO Supian Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 12:36 PM