AZHAN Rani (kanan) tidak anggap kehadiran Azar Azmi (kiri) sebagai pencabar untuk watak antagonis baru dalam drama Nur 2. FOTO Instagram Azhan Rani
Norhayati Nordin


PELAKON berpengalaman Azhan Rani, yakin watak Ustaz Syed Hamadi lakonannya tidak akan tergugat dengan kehadiran karakter Juita yang seksi dan lebih menggoda dalam drama Nur 2.

Watak antagonis baru, Juita lakonan mantap pelakon muda Azar Azmi diketengahkan lebih menjurus ke arah seksi dan sangat menggoda.

Azhan, 43, berkata sepanjang membintangi drama Nur musim pertama lalu, dia tidak pernah berasa watak Syed Hamadi lakonannya itu akan bersaing dengan karakter lain.

“Saya lebih selesa utamakan keseronokan melakonkan watak ini berpandukan kepercayaan yang diletak pengarah.

“Memang tidak pernah terdetik pun soal digugat atau bersaing dengan mana-mana watak lain dalam setiap drama yang saya bintangi.

“Saya lebih senang melihat positif yang mana watak lain itu kesemuanya mempunyai kekuatan jalan cerita tersendiri,” katanya.

Mengulas watak Juita itu, Azhan berkata, sudah pasti ada alasan kukuh daripada penulis skrip dan pengarah untuk watak Juita muncul seksi serta lebih menggoda dalam drama Nur 2.

“Mungkin penulis skrip dan pengarah perlukan impak emosi penonton untuk divisualkan ke atas watak Juita itu sendiri.

“Apatah lagi, perlu diingat Juita adalah watak baru dalam Nur 2. Jadi, kehadirannya (Juita) punya tanggungjawab lebih berat untuk menempatkan diri di sekitar watak lain yang sudah sedikit selesa dan dikenali sejak musim lalu,” katanya.

Menurutnya, yang penting sebagai penulis dan pengarah berpengalaman semestinya Shahrulezad Mohameddin lebih tahu akan impak visualisasi watak Juita itu ke atas penonton.

Katanya, dia juga pasti Shahrulezad sudah memikirkan semasak mungkin dan bukan atas dasar suka-suka menjadikan watak Juita sebegitu.

Selain Azhan dan Azar, drama Nur 2 yang kini dalam penggambaran turut dibintangi pelakon lain seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Noorkhiriah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 8:41 PM