Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI, Sufian Suhaimi menganggap beberapa gambar yang tular membabitkan dirinya dengan seorang wanita adalah berunsur khianat.

Sufian, 27, berkata gambar yang tular juga berunsur serangan peribadi apatah lagi ia dimuat naik selepas kemenangannya pada Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33).

“Sejujurnya saya berasa ralat dengan perkara ini. Dalam masa sama, saya tak terkejut. Saya berasakan ini bukan satu isu besar dan tak perlu pun diperbesarkan.

“Kalau boleh berhenti beri perhatian pada isu ini. Tak nak ia jadi fokus orang ramai. Biarkan ia berlalu begitu saja.

“Sedangkan ada perkara lebih gembira ingin dikongsi. Nampak sangat ini lebih kepada perbuatan khianat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia tidak mahu lagi ambil kisah dengan apa yang berlaku.

“Lagi dilayan lagi panjang isu ini. Jadi, cara terbaik adalah baik biarkan saja,” katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana hubungannya dengan wanita dalam gambar itu, Sufian berkata antara mereka tidak pernah ada apa-apa hubungan.

“Sampai sekarang saya masih solo. Saya berhak untuk berkawan dengan sesiapa saja,” katanya.

Berita berkaitan

'Gambar terbaru, saya pun tak pasti' - Sufian Suhaimi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 3:36 PM
SUFIAN Suhaimi anggap penyebaran gambar tular berunsur serangan peribadi. GAMBAR Arkib NSTP