ISMAIL Embong jarang berjumpa dengan Emma selepas hidup solo. FOTO Instagram Emma Maembong
Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS memuat naik status nasihat kepada anaknya pada minggu lalu, terbaru, ayah kepada pelakon Emma Maembong, Ismail Embong sekali lagi memuat naik status di Facebook miliknya.

Dalam muat naik itu, Ismail menulis coretan panjang mengenai bagaimana dia berdepan dengan cemuhan netizen yang mengatakan bahawa dia tidak tahu menjaga anak.

“Bisik masalah kepada PA (pembantu peribadi) selalunya bocor. Di sini, saya tewas. Cemuhan tak reti jaga anak dari ‘haters’, telan saja,” tulisnya di laman sosial berkenaan.

Ismail juga berkongsi mengenai bagaimana dia sedar bahawa anaknya perlukan ibu untuk menjadi tempat mereka berkongsi cerita.

“Ada perkara yang sukar diluahkan kepada bapa, senang kepada ibu.

“Kini, anak itu sudah dewasa dan mahu mencari pasangan masing-masing. Tapi, sukar untuk kita (dia dan anak-anak) berkomunikasi soal ‘birds and bees’.

“Rasanya lebih senang mereka berbisik kepada seorang perempuan, seorang yang berstatus ibu kepada mereka,” tulisnya.

Dalam status sama, dia juga menulis luahan rasa yang bercerita mengenai kehidupannya tidak terlalu dekat dengan anak.

“Sejak menduda, saya tinggal solo (sendirian). Anak datang jenguk sesekali, setiap tahun (Raya) berkumpul.

“Mereka sibuk dengan urusan masing-masing. Yang dah kahwin kararlah (menetap) bersama keluarga mereka.

“Saya tak ganggu, saya tak jenguk. Tak akan pergi ke rumah mereka jika tidak dijemput suami masing-masing dan tidak pernah ada jemputan,” tulisnya.

Dalam coretan itu juga, Ismail berkata, dia tidak mengambil tahu mengenai kerjaya anaknya sebagai pelakon.

“Dua lagi yang belum kahwin, yang berlakon pun tidak tinggal sebumbung. Mereka lebih banyak bersama kakak yang sudah bersuami berbanding dengan ayah.

“Saya tak ambil pusing kerjaya mereka. Bila cuti, mereka datang ajak ayah melancong. Memang sukar pantau anak perempuan yang meningkat dewasa,” tulisnya.

Status itu menerima lebih 850 ‘like’ dan dikongsikan oleh lebih 50 pengguna Facebook yang lain.

Ismail sebelum ini menasihati golongan wanita supaya menjauhi lelaki yang cuba membuka aib mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 6:07 PM