Sawiah (kiri) yang kudung kedua-dua kaki akibat kencing manis bersama suaminya, Mas Omar. FOTO/Salimey Abu Bakar
Ridzuan Abdul Rahman


“TOLONGLAH cepatkan proses kelulusan tuntutan kos kaki palsu kerana saya amat memerlukannya. Disebabkan terlalu mengharap, ia terbawa-bawa hingga dalam mimpi.”

Demikian kata bekas eksekutif perhubungan awam syarikat rakaman dan artis, Sawiah Ali, 61, yang kini kehilangan kedua-dua kaki akibat kencing manis.

Kaki kirinya terpaksa dipotong pada 2016 dan tahun lalu, kaki kanannya pula terpaksa dipotong.

Dia yang dikategorikan hilang upaya kekal membuat permohonan terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membiayai kos pembelian kaki palsu menerusi sebuah syarikat pembekal.

“Tuntutan untuk kos kaki palsu sebelah kiri diluluskan tanpa masalah, cuma saya masih menantikan jawapan permohonan untuk pembiayaan kos kaki palsu kanan pula. Perkara ini sudah berlanjutan selama setahun dan sampai sekarang masih tiada jawapan.

“Tuntutan untuk kos kaki palsu kiri diluluskan hanya dalam tempoh empat bulan dan ia membolehkan saya cepat buat rawatan di pusat pemulihan di Cheras, Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.

Sawiah adalah individu yang banyak berjasa terhadap artis-artis era 1980-an. Dia pernah bertugas di syarikat rakaman NSR menguruskan ramai artis antaranya Rohana Jalil dan Datuk Dahlan Zainuddin.

Suaminya, Mas Omar, 64, pula pernah bertugas di syarikat rakaman BMG, EMI dan SRC serta turut menguruskan ramai artis popular.

Beliau juga uzur kerana menghidap angin ahmar serta perlu banyak berehat.

Sawiah berharap permohonan tuntutan untuk kaki palsu diluluskan supaya membolehkannya terus menjalani rawatan fisioterapi.

“Semua dokumen sudah lengkap diisi dan diberikan kepada Perkeso. Mereka pernah datang melihat keadaan saya. Namun, apabila dihubungi mereka belum dapat memberikan jawapan tepat bila masalah ini akan selesai.

“Saya berpendapat faktor usia saya yang mencecah 60 tahun ketika permohonan kaki palsu kanan sebagai punca kelulusan kerap tertangguh,” katanya.

Menurutnya, tahap kesabarannya teruji dan dia terfikir untuk berkunjung ke Perkeso bagi membuat permohonan semula untuk tuntutan kos kaki palsu kanannya ini.

“Apabila buat permohonan baru, kelulusan akan lambat semula. Sekarang badan saya dah kembali sihat dan bermakna mudah dan cepat sekiranya saya nak masuk ke pusat pemulihan di Cheras,” katanya yang meminta Perkeso menimbangkan permohonan khusus untuk itu saja.

Menurut Sawiah, kos untuk kaki palsu kanan agak murah dan ia bukanlah membebankan Perkeso.

“Saya hanya minta kerjasama Perkeso mempercepatkan kelulusan dan bukanlah menafikan peranan mereka. Kalau dapat kaki palsu kanan, bila-bila masa saja saya boleh masuk pusat rawatan.

“Proses rawatannya sehingga melatih kaki itu kuat, kukuh dan barulah saya dibenarkan keluar. Kalau sebulan tempohnya, saya kenalah ikut,” katanya.

Selain itu, keluhan Sawiah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar yang melawat dan berjanji membantu menyelesaikan masalahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 12:14 PM