NABIL dan Sarah bercinta sejak lima tahun lalu. FOTO - NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan pengacara Nabil Mahir, 31, mengesahkan hubungan cintanya dengan pelakon, Sarah Hilderbrand, 28, putus sejak dua minggu lalu.

Nabil ketika dihubungi juga terkejut apabila mendapati bekas kekasihnya itu sudah mempunyai pengganti walaupun mereka baru saja berpisah.

“Saya memang sangat terkejut kerana kami baru putus dua minggu. Apabila saya melayari Instagram dia, nampaknya dia sudah ada pengganti,” katanya.

Ditanya sama ada perpisahan hubungan berusia lima tahun itu berpunca akibat kehadiran orang ketiga, Nabil berkata, dia tidak pasti.

"Saya tak pasti kerana saya baru tahu mengenai kehadiran lelaki ini pun selepas kami berpisah. Apa yang boleh saya katakan, kami tidak ada sefahaman. Pendapat kami banyak bercanggah. Jadi, perpisahan adalah jalan terbaik," katanya.

Nabil berkata, dia mula merasakan timbul konflik dalam hubungannya dengan Sarah sejak beberapa bulan lalu.

"Sejak beberapa bulan lalu, saya rasa dia sedikit dingin dan 'jauh' daripada saya. Bukan dengan saya saja, malah ibu bapa saya juga dapat merasainya.

"Saya berdoa kepada Allah untuk memberi petunjuk kepada saya. Jika benar dia takdir saya, dekatkanlah kami dan jika sebaliknya, tunjukkan kepada saya dia bukan jodoh saya," katanya.

Namun, Nabil berkata, itu adalah versi daripada perspektifnya.

"Mungkin jika tanya kepada Sarah, versinya berbeza," katanya.

Spekulasi mengenai keretakan hubungan cinta mereka mula timbul apabila pengacara itu mula memadam gambar Sarah di Instagram sekali gus menguatkan lagi dakwaan mengatakan mereka sudah berpisah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 2:06 PM