ANAK kedua Rita Rudaini (kiri), Airit Rafqa Arjuna (kanan) dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti Influenza B. FOTO ARkib NSTP dan Ihsan Rita Rudaini
Sudirman Mohd Tahir


“SAYA tidak suka jika ada orang ‘tag’ nama individu lain yang tidak berkenaan dalam ruangan komen di Instagram (IG) terutama membabitkan keluarga,” kata pelakon, Rita Rudaini mengenai sikap segelintir pihak yang sengaja meletakkan tanda (tag) nama pelakon Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Zaquan Adha yang disifatkan tidak berkaitan dengan hidupnya.

Rita, 43, berkata, perkara itu timbul apabila anak keduanya, Airit Rafqa Arjuna, 8, dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, sejak bergelar ibu tunggal dia berusaha sendiri membesarkan dua anak tanpa meminta simpati dan belas ihsan orang lain.

“Kenapa kena ‘tag’ nama mereka? Apa kaitan anak saya sakit dengan mereka? Lagi pun masing-masing ada keluarga sendiri.

“Selama ini, saya tidak pernah menyusahkan sesiapa. Saya sebolehnya buat sendiri dengan kudrat yang ada. Jika tak pun, saya minta tolong keluarga terdekat sendiri.

“Alhamdulillah, kesusahan saya selama ini Allah gantikan dengan kegembiraan lain. Saya percaya, setiap orang dapat bahagian masing-masing,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi mengenai keadaan anaknya, Rita berkata, Arjuna disahkan terkena jangkitan Influenza B selepas tiga hari demam panas.

“Selepas demam tidak kebah, Khamis lalu saya terus bawa ke hospital untuk buat pemeriksaan dan kena tahan wad. Sebelumnya, dia juga muntah.

“Saya tak rasa ia berjangkit di sekolah. Berkemungkinan dia terkena masa mandi di kolam renang rumah kawannya sebab ketika itu ada ramai orang.

“Alhamdulillah, Arjuna sudah dibenarkan pulang ke rumah semalam. Terima kasih kepada doktor, jururawat, sepupu dan rakan yang sudi menemani Arjuna ketika saya berada di lokasi penggambaran,” katanya.

Menurut Rita, anak sulungnya Rayyan, 10, juga mula menunjukkan tanda sama apabila cirit-birit dan muntah pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 2:40 PM