MAYA Karin bergambar bersama anggota bomba yang memadam kebakaran pokok durian di rumahnya. FOTO Ihsan Bomba dan Instagram Maya Karin
MAYA Karin bergambar bersama anggota bomba yang memadam kebakaran pokok durian di rumahnya. FOTO Ihsan Bomba dan Instagram Maya Karin
Syanty Octavia Amry dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PELAKON Maya Karin panik dan terkejut apabila pokok durian yang terletak di halaman rumahnya di Kampung Sungai Pencala, Kuala Lumpur, tiba-tiba terbakar hingga api menjulang sehingga 10 meter, pagi hari ini.

Maya berkata, dia terkejut apabila pembantu rumah tiba-tiba mengetuk pintu biliknya kira-kira jam 7 pagi sambil menjerit ‘api! api!’.

"Ketika itu saya sudah bangun dan tiba-tiba pembantu rumah mengetuk pintu bilik beberapa kali sambil menjerit ada api.

“Sebaik keluar dari rumah saya terkejut melihat sebatang pokok durian di tepi rumah terbakar hampir keseluruhannya. Pokok itu memang sudah tua dan saya pelik bagaimana ia boleh terbakar," katanya.

Katanya, ketika kejadian hanya dia dan pembantu rumah berada di rumah berkenaan sebelum dia menghubungi bomba dan memaklumkan kepada jiran.

“Selepas api dipadamkan, pokok itu tiba-tiba tumbang serta nyaris jatuh di tepi rumah dan bukan di bahagian atas rumah.

“Saya masih terfikir dari mana api itu datang kerana bomba belum dapat memastikan punca sebenarnya. Api itu datang dari bawah dan bukan kerana litar pintas. Tiada juga bunyi sebarang letupan sebelum berlaku kebakaran,” katanya.

Terdahulu, Maya menerusi Instagram memuat naik status dan beberapa gambar serta video kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.32 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan 13 anggota dikerahkan ke lokasi.

"Setiba di lokasi, keadaan api di pokok durian berkenaan sedang marak. Pokok berkenaan boleh tumbang dan menghempap rumah yang berada berdekatan," katanya.

Menurutnya, pihaknya dapat memadamkan kebakaran pada jam 8.33 pagi dan tiada sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan.

“Anggota bomba kemudian membuat pemantauan bagi mengelakkan sisa dan bara api masih terbakar. Operasi selesai kira-kira sejam kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:56 PM