MAN BAI (kanan) dan Rahim Maarof (kiri) bergabung tenaga menjayakan Konsert 2V Man Bai & Rahim Maarof. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
MAN BAI (kanan) dan Rahim Maarof (kiri) bergabung tenaga menjayakan Konsert 2V Man Bai & Rahim Maarof. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Man Bai meluahkan rasa kecewanya dengan pihak pengurusan Istana Budaya (IB) selepas permohonannya untuk mengadakan Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof di lokasi itu ditolak.

Man Bai atau nama sebenarnya Abdul Rahman Osman, 52, berkata dia menghantar kertas cadangan kepada pihak IB pada Oktober tahun lalu dan melalui prosedur yang sepatutnya.

"Pada asalnya, saya nak adakan konsert di IB pada 23 dan 24 Disember tahun lalu. Saya dah hantar kertas cadangan pada Oktober.

"Pihak IB bersetuju dengan tarikh yang saya cadangkan kerana memang jadual kosong pada tarikh itu.

"Namun, di saat akhir, pihak IB menghubungi saya dan mengatakan bahawa slot itu sudah diisi oleh Konsert Duo Legenda: Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir," katanya kepada Harian Metro.

Menurut bekas vokalis kumpulan Gersang itu, kerana kekecewaannya itu juga, dia tidak akan menjejakkan kaki di panggung berprestij itu lagi.

"Sebelum ini, saya pernah beberapa kali bekerja di belakang tabir di IB. Saya tahu cara kerja mereka.

"Tapi, selepas ini rasanya saya takkan jejakkan kaki di situ melainkan selepas pertukaran ketua pengarahnya dan sistem kerja mereka," katanya.

Selain itu, dia juga terkilan kerana pihak pengurusan IB seperti 'memilih bulu'.

"Kenapa? Saya dan Rahim (Maarof) tak cukup dikenali? Kami bukan penyanyi baru. Janganlah bersikap berat sebelah.

"Berilah peluang untuk kami 'berniaga' dan mempromosikan tempat ini pula," katanya.

Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang kini berada di luar negara gagal dihubungi bagi mendapatkan komen susulan.

Konsert 2V Man Bai + Rahim Maarof bagaimanapun akan diteruskan dan bakal berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 6 April depan.

Tiket konsert itu mula dijual hari ini dengan harga RM205 dan RM185 kepada 50 pembeli terawal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 5:41 PM