GAMBAR kenangan Bade (duduk dua kanan) bersama ibunya, Fatimah Sham (duduk kiri). FOTO Ihsan Bade Azmi
Syafil Syazwan Jefri


PENGARAH dan penulis skrip, Bade Azmi berkongsi berita duka atas pemergian ibunya, Fatimah Sham @ Fauziah Sheikh Ahmad, 80, yang disahkan meninggal dunia pada jam 6.15 pagi hari ini akibat sakit tua.

Bade atau nama sebenarnya Badaruddin Azmi, 55, berkata, dia yang kini menetap di Terengganu dihubungi oleh abang dan kakaknya yang berada di Kuala Lumpur.

“Sekarang, saya menetap di Terengganu. Kira-kira jam 11.30 malam tadi, saya dapat panggilan telefon daripada keluarga di Kuala Lumpur mengatakan jantung ibu berhenti.

“Doktor kemudian mengambil masa 15 minit untuk memberikan bantuan pernafasan dan setengah jam kemudian, usaha itu berjaya. Namun, degupannya sangat lemah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia sendiri sudah bersiap sedia untuk ke Kuala Lumpur kerana mula rasa tidak sedap hati.

“Saya memang dah siapkan semua barang keperluan untuk memandu ke Kuala Lumpur. Kira-kira jam 12 tengah malam, saya bertolak. Namun, kerana terlalu mengantuk, saya berhenti tidur sekejap di tepi jalan pada jam 4.30 pagi.

“Jam 6.15 pagi, saya dapat panggilan daripada kakak memaklumkan ibu sudah tiada,” katanya.

Ditanya sama ada arwah ibunya menghidap sebarang penyakit lain, Bade memaklumkan bahawa ibunya mengadu sakit di bahagian perut.

“Rabu lalu, ibu ada mengadu kepada kakak dan abang yang dia sakit di bahagian perut. Mereka kemudiannya membawa dia ke hospital.

“Tapi, kalau sakit-sakit lain, dia memang tak ada. Jadi, kami simpulkan bahawa dia meninggal dunia kerana sakit tua,” katanya.

Jenazah Allahyarhamah Fatimah diuruskan di Hospital Selayang sebelum dibawa ke Masjid al-Mardhiah, Taman Melawati untuk disembahyangkan selepas solat Jumaat.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Taman Melawati untuk disemadikan pada jam 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 8:16 PM