JASMIN bersama anak angkatnya. FOTO IG Jasmin
JASMIN bersama anak angkatnya. FOTO IG Jasmin
Sudirman Mohd Tahir


“SEBAGAI ibu pastinya akan terguris apabila anak yang tak berdosa berulang kali dihina oleh manusia yang berhati hitam. Apatah lagi anak yang dihina ini adalah anak yatim.

“Pastinya saya akan bangkit dan membela nasib anak yatim ini,” kata pelakon Jasmid Hamid mengenai tindakan warganet yang menghina anak angkatnya berwajah ‘bapok’.

Jasmin berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pengguna laman sosial yang disifatkan sebagai pembuli siber.

Malah, Jasmin mengakui ralat apabila perkongsian wajah anak perempuannya yang berusia 30 tahun itu di laman Instagram semalam menjadi perbualan dan hinaan warganet.

“Terima kasih kepada peminat yang mengirimkan ‘posting’ mengenai perkara ini kerana dia juga berasa kurang senang dengan komen manusia berhati hitam,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Katanya, selama ini dia menyorokkan identiti sebenar anak perempuan itu kerana sudah menganggapnya sebagai anak sendiri dunia dan akhirat walaupun tidak melahirkannya.

“Saya jaga dia seawal umur dia empat tahun. Jika anda tahu sejarah hidup zaman kanak-kanaknya, pasti anda menangis.

KERATAN komen warganet yang menghina anak angkat Jasmin.
KERATAN komen warganet yang menghina anak angkat Jasmin.

“Walaupun sebelum ini ada yang pertikaikan mengenai saya dan anak perempuan, saya masih berdiam kerana tiada unsur mencela. Dia adalah amanah Allah kepada keluarga saya.

“Jika masih ada yang berkelakuan begini dan tidak belajar daripada kesilapan orang lain, saya akan ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Jasmin turut meluahkan rasa terkilan apabila individu yang melemparkan kata-kata kesat terdiri daripada wanita berhijab dan beragama Islam.

“Sebagai manusia yang berhati mulia, apatah lagi seorang Muslim, sudah pasti kita tahu apa hukumnya mencela makhluk Allah. Inikan pula yang dihina adalah anak yatim yang tak berbuat dosa kepada anda.

“Apa yang menyedihkan, manusia berhati hitam ini tergolong dalam kalangan mereka yang berhijab. Pemakaian tidak seiring dengan akhlaknya. Perbuatan manusia ini sudah memalukan muslimah berhijab lain.

“Seharusnya apabila sudah berhijab, anda juga harus hijabkan hati dan iman seperti mereka yang tergolong dalam Muslimah sejati dan bukan mengikut trend. Disebabkan itu, anda lupa hijabkan hati dan iman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 9:26 PM