DRAMA Band
Sudirman Mohd Tahir

SELEPAS lapan tahun bernaung di bawah syarikat pengurusan Indigital Music Sdn Bhd, kumpulan Drama Band kini mengikat kontrak dengan syarikat rakaman MVM Music.

Vokalisnya Aepul Roza berkata, keputusan itu dibuat awal tahun ini sekali gus menyaksikan impian Aepul bergelar penerbit dan penulis lagu bakal terlaksana.

“Mungkin ramai tidak tahu, selama ini Indigital bertindak selaku pengedar, promosi dan pengurusan saja. Bukan sebagai syarikat rakaman.

“Jadi, untuk tahun ini kami ambil keputusan untuk bernaung dengan syarikat rakaman. Ini untuk kebaikan kami juga selain ingin mencuba sesuatu yang baru.

“Lagi pun, saya ada sasaran mahu menjadi penerbit dan komposer. Takkan saya nak menyanyi selama-lamanya. Syarikat rakaman ini memberi peluang lebih besar ke arah itu,” katanya kepada Harian Metro.

Aepul turut menafikan keputusan dibuat disebabkan wujud pergaduhan dan masalah antara Drama Band dengan pihak Indigital.

“Dalam hal ini, tidak ada siapa yang bersalah. Cuma, macam dikatakan tadi kami inginkan angin perubahan dan pasaran yang lebih luas.

“Keputusan ini juga bukan dibuat secara tiba-tiba. Sejak awal tahun lagi sudah ada perancangan ini tetapi tidak diuwar-uwarkan. Dalam masa sama, kami meneliti syarikat rakaman mana yang memberi tawaran menarik dan berbaloi buat kerjaya kami.

“Jadi, syarikat rakaman ini ada apa yang diinginkan dan kami percaya dengan mereka,” katanya.

Aepul juga mengakui keputusan dibuat itu mengejutkan pengurusan Indigital Music.

“Baru semalam kami maklumkan kepada Kak Nana. Dia terkejut sebab sudah lapan tahun kami bersama. Penerimaan Kak Nana okay.

“Cuma, jika ada yang lain tidak bersetuju dengan keputusan ini, kami minta maaf,” katanya.

Menurut Aepul, pengumuman mengenai penyertaan Drama Band dalam syarikat MVM akan dibuat minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 4:02 PM