SEONG Wu bersama hos, Hani Fadzil. FOTO Georgie Joseph
SEONG Wu bersama hos, Hani Fadzil. FOTO Georgie Joseph
Georgie Joseph


TANPA latihan atau persediaan, pelakon dan penyanyi Ong Seong Wu secara spontan menyanyikan lagu Rasa Sayang selepas ditunjuk ajar hos Hani Fadzil pada acara Ong Seong Wu First Fan Meeting in Malaysia , malam tadi.

Sekali gus, Seong Wu, 23, berjaya menggamatkan suasana selain sempat memberikan ucapan cukup menyentuh hati lebih 4,000 penonton yang hadir di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan bagaimana bermaknanya kamu di hati saya. Terima kasih sangat atas sokongan tidak terhingga ini.

“Kamu saya umpamakan seperti akar bunga yang sentiasa kuat meskipun di kala panas terik mahupun hujan lebat. Pada akhirnya, kamu pasti akan berbunga semula dengan cantiknya.

“Begitulah perasaan saya terhadap kamu semua. Saya tahu kamu akan tetap mengharungi setiap rintangan bersama dan sentiasa menjadikan hari saya indah,” katanya.

Pada acara itu, Seong Wu bukan saja menyanyikan lagu sendiri bahkan turut mencuba lagu warisan tempatan Rasa Sayang itu. Selain Hani, penonton turut membantunya menyanyi bersama lagu terbabit.

Mempersembahkan lagu Please dan Love This Moment, dia tidak ketinggalan menunjukkan bakat tariannya. Rata-rata penonton jelas cukup terhibur dengan persembahannya meskipun dia beraksi solo.

Terdahulu, bekas anggota WANNA ONE itu pernah bertandang beberapa kali ke Malaysia. Kali terakhir dia hadir bersama kumpulan itu adalah Julai tahun lalu.

Selepas kumpulan itu berpecah, Seong Wu kemudian meneruskan kerjaya solonya dengan aktif sebagai pelakon.

Dalam acara dianjurkan agensi hiburan berpusat di Bangkok iaitu Hatchery itu, dia turut bercerita perkembangan terbarunya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 12:29 AM
Digital NSTP Subscribe