JESSICA (duduk dua dari kanan) bersama pelakon dan pengarah siri terbaharu yang bakal temui penonton.
Syafil Syazwan Jefri

INDUSTRI seni perfileman dan drama bersiri dari Asia kian mendapat perhatian. Oleh itu, muncul pelbagai karya dari Timur yang kini mampu berdiri sebaris dengan naskhah dari Hollywood.

HBO Asia baru-baru ini melancarkan rang­kaian drama bersiri terbaharu yang mengisi saluran itu sekali gus mengukuh­kan kedudukan karya dari Asia.

Empat siri terbaharu yang dilancarkan adalah Dream Raider, Food Lore, The Teenage Psychic dan The World Between Us.

Timbalan Presiden Senior HBO Asia Originals Productions, Jessica Kam berkata, setiap karya yang dipertaruhkan mempu­nyai kekuatan tersendiri.

“Setiap karya yang kami sajikan dalam HBO Originals series ada kekuatan masing-masing. Contohnya, Food Lore, kami menggabungkan beberapa kisah mengenai makanan yang digarap dalam bentuk drama.

“Dream Raider pula karya sains fiksyen dan tak ramai pengarah mampu mengarahkan karya genre sebegini,” katanya.

ADEGAN dalam The Teenage Psychic.

Dua daripada lapan sutradara yang mengarahkan Food Lore, Eric Khoo dan Billy Christian berkongsi rasa teruja mereka mengenai karya berkaitan sajian Asia itu.

“Ia lanjutan siri Fol­klore yang saya hasilkan tahun lalu. Bezanya, Fol­klore memaparkan enam kisah seram popular dari pelbagai negara Asia, manakala dalam Food Lore pula kami menyusun lapan karya yang menggunakan makanan popular negara Asia,” kata Eric.

Menurut pengarah dari Singapura itu, kisah seram dan makanan adalah dua dunia berbeza namun menjadi minatnya sejak dulu.

“Dalam setiap episod akan ada kisah yang berbeza tetapi masih menggunakan makanan sebagai tunjang utama.

“Karya saya mengisahkan peniaga warung yang jatuh cinta dengan dengan cef restoran terkemuka. Jadi, kita dapat lihat bagaimana makanan boleh menyatukan dua dunia,” katanya.

Billy Christian yang cukup dikenali sebagai pengarah filem seram di Indonesia pula berkata, satu cabaran besar buat dirinya apabila menghasilkan karya yang luar daripada kebiasaannya.

BABAK dalam The World Between Us.

“Sebelum ini saya banyak hasilkan karya seram. Kali ini saya cabar diri untuk hasilkan satu naskhah berbeza dan berikan kepada Eric.

“Menerusi karya dalam salah satu episod Food Lore, saya menggunakan hidangan terung dan ada elemen misteri,” katanya.

Pada majlis pelancaran yang berlangsung di Hong Kong itu, dua bintang drama Dream Raider, David Wang dan Vivian Hsu turut membuat kemunculan.

David berkata dia berdepan cabaran besar apabila perlu banyak berimaginasi sepanjang penggambaran drama lapan episod itu.

“Berlakon menggunakan CGI sangat mencabar kerana saya perlu banyak menggunakan imaginasi bagi menjayakan sesuatu babak.

“Jadi, ia tak sama seperti berlakon dalam karya lain apabila kita ada rakan gandingan,” katanya.

Vivian Hsu pula berkata, ini adalah karya sains fiksyen pertama yang dibintanginya.

ANTARA babak dalam Food Lore.

“Saya tak pernah menonton filem sains fiksyen sebelum ini. Tak sangka pula saya ditakdirkan berlakon dalam drama ini.

“Secara tak langsung, perlahan-lahan saya mula jatuh hati dengan genre ini dan banyak perbezaan yang saya rasakan berbanding menjayakan drama biasa,” katanya.

Secara ringkasnya, Dream Raider berkisarkan jenayah yang dilakukan dengan cara mengeksploitasi minda bawah sedar manusia.

Seorang lagi pelakon yang sempat ditemu bual ialah James Wen yang membintangi siri The World Between Us.

James berkata, jalan cerita drama yang berkisar mengenai pembunuhan beramai-ramai itu sesuai dengan tema sejagat yang mampu diterima semua peringkat penonton.

SATU daripada babak dalam Dream Raider.

“Ia karya yang sangat bagus dan saya sendiri menangis saat membaca skrip drama ini.

“Sebagai pelakon saya melihat karya ini dari sudut pandang masyarakat Taiwan tetapi ia sesuai juga untuk diterjemahkan oleh masyarakat dari negara lain,” katanya.

Di Malaysia, The World Between Us ditayangkan setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro 411 dan 431 sejak 24 Mac lalu.

Apa yang pasti, aneka drama yang dipersembahkan akan mengangkat nama pengkarya dari Asia sekali gus membuka mata dunia untuk menghargainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 5:30 AM