KUALA LUMPUR 28 MARCH 2019. Singer, Ning Baizura at press conference mini concert Ning LIVE! , Zoo Negara. NSTP/ROHANIS SHUKRI.
Norhayati Nordin


LEBIH dua dekad bertahan dalam industri seni tanah air cukup membuatkan penghibur berbakat besar, Ning Baizura sangat bersyukur.

Apatah lagi, meskipun kini ramai penyanyi baharu muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, nama Ning tidak pernah tergugat. Ning juga sudah lama tiada album atau single baharu tetapi rezekinya tidak pernah putus apabila sering diundang menjayakan persembahan untuk majlis korporat.

“Syukur, karier nyanyian saya masih bernafas dengan menerima tawaran persembahan tertutup anjuran syarikat korporat dan majlis makan malam. Sepanjang 26 tahun bergelar penyanyi rezeki saya tidak pernah putus.

“Cuma tak dinafikan saya jarang muncul dalam program di televisyen. Jadi, mungkin kerana itu tak ramai tahu saya sebenarnya masih aktif menyanyi,” katanya.

Menurut Ning, selain menyanyi, dia juga aktif dengan kerja sukarelawan dan kemasyarakatan seperti memperjuangkan nasib haiwan liar.

“Sebelum berkahwin lagi saya sering menyertai pelbagai aktiviti sukarela anjuran badan bukan kerajaan (NGO). Cuma, banyak buat secara diam-diam saja.

“Apabila sudah ada anak saya jadi semakin berminat kerana aktiviti yang bagus sebegini turut menarik minat Ryan Sky, 6,” katanya.

KONSERT MINI SELAMATKAN HARIMAU

Ning berkata anak lelaki tunggalnya itu sangat sukakan haiwan dan berjiwa prihatin. Sebagai ibu, dia berusaha memberikan didikan terbaik kepada Rayyan.

Baru-baru ini, Ning mengadakan sidang media sempena penganjuran konsert mini Ning Live! ‘Saving Tigers Together’ yang akan berlangsung di Zoo Negara pada 20 April nanti.

Menurut penyanyi lagu Dugaanku itu, ia bagi menyuntik kesedaran kepada masyarakat mengenai spesies harimau Malaya yang kian terancam dan akan pupus jika terus menjadi mangsa aktiviti pembalakan dan pemburuan haram di hutan.

Sudah 17 tahun terbabit sebagai aktivis, Ning berkata, dia juga pernah membersihkan kandang gajah di Zoo Negara dan ia pengalaman yang menarik.

Bakal menyanyikan 10 lagu dalam mini konsert itu, penonton juga akan menikmati aktiviti lain seperti menyaksikan beberapa pertunjukan haiwan.

Harga tiket untuk mini konsert itu adalah RM175 untuk dewasa, RM100 (kanak-kanak) dan RM505 (pakej keluarga) serta boleh didapati di www.airasiaredtix.com.

Ning juga memberitahu 10 peratus daripada hasil penjualan tiket untuk mini konsert itu akan disalurkan kepada NGO dikenali My CAT yang membela nasib harimau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 5:00 AM