AMYLEA berkolaborasi dengan Megat menyanyikan lagu Tetap Kamu. FOTO Supian Ahmad
AMYLEA berkolaborasi dengan Megat menyanyikan lagu Tetap Kamu. FOTO Supian Ahmad
Syanty Octavia Amry


PENYANYI Amylea Azizan menolak dakwaan lagu duet terbarunya bertajuk Tetap Kamu meniru lagu Ratusan Purnama nyanyian Melly Goeslaw dan Marthino Lio.

Namun begitu, Amylea mengakui komposer Tetap Kamu, Farouk Roman sangat meminati lagu hasil ciptaan Melly.

"Tidak saya nafikan Farouk memang minat lagu Melly dan boleh dikatakan semua lagu hasil sentuhannya terinspirasi daripada lagu Melly dan muzik dari Indonesia.

"Muzik Tetap Kamu juga hampir sama dengan Tak Pernah Hilang kerana ini adalah kesinambungan daripada lagu berkenaan," katanya ketika ditemui pada pelancaran lagu Tetap Kamu di Kuala Lumpur, hari ini.

Tetap Kamu gandingan terbaru Amylea bersama Megat yang juga protege Aizat Amdan dalam program realiti Mentor Milenia musim ketujuh. Malah liriknya juga ditulis sendiri oleh Amylea.

Lagu berkenaan turut menjadi lagu tema untuk drama bersiri Nur 2 yang akan menemui penonton di TV3 bermula esok.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai pemilihan Megat, Amylea berkata, walaupun lenggok suara mereka berbeza namun keunikan suara Megat menambat hatinya untuk berkolaborasi bersama.

"Sepatutnya lagu ini saya nyanyi bersama Kaer tetapi disebabkan dia terikat dengan kerja lain saya perlu mencari pengganti.

"Walaupun pada awal agak sukar mencari pengganti namun pemilihan Megat nyata tidak sia-sia. Suaranya sangat luar biasa bagi saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 6:15 PM
Digital NSTP Subscribe