FATTAH Amin bersama isterinya, Fazura.
Ridzuan Abdul Rahman


“DAKWAAN mengatakan saya memandai-mandai naik atas pentas dan tak ikut format penganjur adalah fitnah semata-mata.”

Itu kata pelakon popular Fattah Amin susulan kontroversi empat penjuru membabitkan dia dan isterinya Fazura, Datuk Hans Isaac, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Astro.

Ia tercetus berikutan kemunculannya bersama Fazura bagi menyampaikan trofi Anugerah Khas Juri dalam Festival Filem Malaysia ke- 30 (FFM30) baru-baru ini, yang dikatakan tidak menghormati penyampai lain iaitu Hans dan Maya Karin serta mengejutkan Finas.

Fattah berkata, dia hanya menjalankan tanggungjawab seperti permintaan Astro dan segala-galanya termaktub dalam kontrak.

“Saya hanya buat kerja seperti yang diminta mereka. Saya diminta oleh penganjur dengan disertakan kontrak sebagai penyampai anugerah pada malam itu. Surat itu ada nama penuh saya menyatakan tugas yang perlu dibuat saya dan saya ada menandatangani surat itu,” katanya.

Menurutnya, urusan antara Finas dan Astro biarlah diselesaikan sesama mereka dan dia tidak boleh masuk campur.

“Begitu juga hal Fazura dengan Hans, saya tak boleh masuk campur dan bagi kenyataan. Cuma, saya nak jelaskan tak mungkin seseorang artis nak ‘main langgar’ protokol masuk tv. Itu tak masuk akal. Tak logik juga jika nak katakan saya pandai-pandai meminta tampil atas pentas dengan Fazura,” katanya.

Fattah mengakui isu ini tidak patut dibangkitkan dan dia kesal dengan apa yang berlaku.

“Sudah tentu saya dan Fazura kena ke depan untuk mempertahankan diri apabila isu ini tular. Lagipun bukan kami yang terlebih dahulu buka cerita ini.

“Selebihnya saya serahkan kepada pengurusan saya untuk ambil tindakan susulan,” katanya ketika ditemui pada pelancaran koleksi baru raya keluarannya, Fattastic Raya di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 9:33 PM