NORMAH (kanan) enggan mengulas lanjut mengenai penularan video lelaki menyerupai wanita yang menari pada majlis perkahwinan anaknya, Ahya dengan pasangannya, Shahirah Sanusi. FOTO Arkib NSTP dan Instagram km_lianarosli
Amirul Haswendy Ashari


“SAYA tak nak komen lebih-lebih. Apa yang saya tahu, anak sudah selamat bernikah,” kata pelakon veteran Normah Damanhuri.

Ia susulan video rakaman seorang penari lelaki menyerupai wanita berpakaian separuh bogel menari aksi lucah ketika membuat persembahan pada acara makan beradab di majlis perkahwinan anak lelakinya, Ahya Rosli di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, semalam.

Video tular itu dipercayai dimuat naik oleh kakak Ahya, Liana Rosli yang dikenali sebagai Kak KM dalam kalangan pengikut laman sosial di ruangan Instastory miliknya, semalam.

Normah ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia tahu apa yang berlaku dan segala pengisian di dalam majlis tempoh hari dipersetujui seluruh ahli keluarga.

“Pasal jemputan itu (penari), keluarga sama-sama tahu. Saya tak nak komen lebih-lebih, nanti panjang cerita.

“Yang penting, anak saya sudah selamat bernikah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahya dalam satu kenyataan di sebuah portal hiburan lain berkata, persembahan itu sekadar hiburan untuk tetamu pada majlis itu.

Katanya, dia enggan melayan kutukan serta kritikan warganet kerana menganggap pengisian majlis itu adalah haknya sebagai tuan rumah.

Dia juga menganggap warganet yang mengecam tindakan pihaknya menjemput penari itu sebagai tiada kerja selain daripada mahu mengganggu kehidupan orang lain semata-mata.

Ahya dan pasangannya, Shahirah Sanusi berkahwin pada 29 Mac lalu di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 5:00 PM