X
NELYDIA bersama jejaka pilihan hatinya, Mohd Hafez.
NELYDIA bersama jejaka pilihan hatinya, Mohd Hafez.

SESUNGGUHNYA Tuhan sebaik-baik perancang. Allah menyusun hidup manusia dengan aturan yang cukup sempurna dan saling memberi kebaikan antara satu sama lain.

Begitu juga dengan takdir pernikahan aktres jelita, Nelydia Senrose bersama jejaka pilihan hatinya, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di ibu kota, kelmarin.

Apa yang mencuri perhatian, April menjadi detik cukup membahagiakan buat kedua-dua mempelai apabila ia menjadi saksi detik perkenalan mereka hingga melangkah ke gerbang perkahwinan tahun ini.

Mengimbas kembali detik perkenalan, Nelydia mula mengenali Hafez pada April 2017 dan 6 April lalu mereka memilih tarikh keramat itu untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri.

“Tak sangka April menjadi detik indah buat saya dan Hafez. Ia satu perkara yang berlaku secara kebetulan dan akan terus dikenang sebagai bulan bahagia.

“Alhamdulillah impian, niat dan hajat yang saya harapkan selama ini dipermudahkan. Saya kini sah bergelar isteri kepada Hafez. Saya teruja nak sambut puasa dan raya sebagai isteri.

“Doa saya di Tanah Suci Makkah dan apa yang dihajati juga Allah makbulkan serta beri jawapan pasti termasuk hal jodoh. Semoga permulaan fasa ini akan terus mematangkan saya serta dia. Insya-Allah,” katanya.

Siapa sangka, majlis pernikahan yang sepatutnya berlangsung tahun lalu memberi Nelydia masa untuk meminta petunjuk terbaik daripada Yang Maha Esa ketika mengerjakan umrah Disember tahun lalu.

Katanya, dia mengambil peluang di Tanah Suci dengan sebaik mungkin untuk memastikan dia jodoh terbaik buat saya.

“Dengan beberapa dugaan kecil yang dilalui ketika bersamanya, saya mahukan jawapan pasti. Kenapa berat sangat hingga perancangan kahwin tertangguh, tahun lalu?

“Di Tanah Suci, saya berdoa kepada Tuhan, jika betul dirinya jodoh terbaik untuk saya maka percepatkan dan permudahkan urusan kami. Jika dia bukan jodoh saya pula, moga masing-masing bertemu insan lebih baik. Begitu juga jika tidak ditakdirkan sebagai jodoh saya, pisahkan kami supaya masing-masing tidak saling menyakiti.

“Alhamdulillah, doa itu terjawab kini dan segala yang dirancang sebaik pulang mengerjakan umrah pada Januari lalu dipermudahkan urusan,” katanya.

BERSAMA keluarga dan kenalan rapat.
BERSAMA keluarga dan kenalan rapat.

Rahsia

Bagi yang mengikuti perjalanan seni aktres itu, tidak banyak perkara yang dikongsikan Nelydia di laman sosial.

Kata Nelydia, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk tidak terlalu terbuka berkongsi sesuatu perkara, termasuk soal hati dan perancangan kahwin.

“Saya banyak belajar daripada kesilapan lalu. Benar, kita fikir membina masjid adalah perkara baik, cuma saya tidak mahu ada yang tersalah anggap.

“Selama ini, saya bukanlah nak sorok daripada sesiapa. Cuma saya mengelak daripada menghebahkannya secara berlebih-lebihan.

“Kita semua tahu bagaimana sikap warganet hari ini. Salah atau tidak, sorok atau sebaliknya, pasti ada yang akan berbunyi. Malah, jika cerita sebegini tersebar, tidak kurang juga yang akan mengatakan ada lagi berita lain lebih penting,” katanya.

Katanya, sikap tidak terlalu terbuka bercerita perihal suaminya di laman sosial juga kerana mahu menjaga hati Hafez dan pihak keluarga.

“Saya sudah biasa

dengan kecaman, malah sudah dianggap kalis. Biarlah apa orang nak kata. Tetapi, Hafez dan adik-beradik saya yang tidak menceburkan diri dalam seni tak biasa dengan semua itu. Pasti mereka akan kecil hati.

“Saya turut berbuat begini kerana tidak mahu terlalu mendedahkan mereka pada mata umum. Andai kata saya muat naik gambar bersama Hafez sebelum waktunya, pasti akan ada kata nista yang menerjah,” katanya.

Nelydia berhati mulia

Dalam pada itu, Hafez menjelaskan dia tertarik untuk memiliki Nelydia kerana aktres itu mempunyai sifat yang lembut dan baik hati.

“Dia satu dalam 1,000 dan tiada sesiapa pun seperti dirinya. Malah, namanya pun unik.

“Sebelum ini, saya tahu dia orang seni, cuma tidak terlalu mengikuti sangat perkembangan dunia hiburan.

“Dia mempunyai hati yang baik. Malah dia juga seorang wanita yang sangat manja,” katanya.

Hafez turut menyatakan, pada awalnya, agak sukar untuk dia menyesuaikan diri dengan pasangan yang memegang status selebriti. Namun, akhirnya dia akui perlu berkompromi.

“Selepas berkahwin,

saya bersikap terbuka jika dia mahu berlakon. Saya takkan menghalang selagi dia tahu tanggungjawab sebagai isteri dan tidak mengabaikannya.

“Sebagai suami saya kena faham minatnya dalam seni,” katanya yang mengenakan busana Ezuwan Ismail pada hari pernikahan lalu.

Katanya, dia juga merancang membawa Nelydia menunaikan umrah pada Ramadan nanti.

“Jika tiada aral melintang saya berhajat nak membawa Nelydia menunaikan umrah. Doakan urusan kami dipermudahkan,” katanya.

Sabtu lalu, Nelydia sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan Hafez jam 3.28 petang dengan sekali lafaz.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Rifin dan disaksikan Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, Azizi Abd Hamid.

Pasangan itu juga turut melangsungkan pertunangan sebagai syarat sebelum meneruskan upacara pernikahan di depan lebih 200 tetamu dan kenalan terdekat.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:30 AM