DIBINTANGI pelakon muda Indonesia.
Syanty Octavia Amry


SEBUT saja Bumi Itu Bulat mengingatkan penulis kepada satu isu yang menjadi perbahasan dalam kalangan warganet berikutan kenyataan kontroversi seorang penyanyi nasyid di negara kita, baru-baru ini.

Berikutan itu, penulis menjadi teruja untuk menonton filem yang menggunakan tajuk sama dari Indonesia ini.

Langsung tidak mempunyai persamaan, malah jauh sekali untuk mengambil kesempatan atas isu yang melanda, Bumi Itu Bulat mempunyai jalan cerita yang berbeza tetapi mempunyai satu matlamat iaitu mahu masyarakat sentiasa bersatu.

Tidak kira bangsa, agama mahupun keturunan, filem ini mempunyai mesej yang kuat dan mudah untuk difahami walaupun ada beberapa babak yang dilihat mungkin kurang sesuai dengan pandangan masyarakat di Malaysia.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Perniagaan Melayu dan Nusantara Astro Shaw, Raja Jastina Arshad berkata, dia tidak bimbang kerana babak berkenaan tidak keterlaluan.

Malah, ia mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem tanpa sebarang suntingan.

FILEM Bumi Itu Bulat kisah sekumpulan anak muda bercita-cita jadi penghibur terkenal

“Tidak saya nafikan jalan cerita filem ini agak berat. Diilhamkan oleh Robert Ronny, ia mengangkat isu toleransi sebagai mesej utama.

“Filem ini mahu membawa masyarakat untuk meraikan di samping menghargai kepelbagaian agama. Dengan berbuat demikian kita boleh menjadikan dunia lebih aman,” katanya.

Jastina yang ditemui selepas majlis tayangan eksklusif media filem berkenaan di sebuah pusat beli-belah di sini berkata, dia mahu penonton lebih fokus terhadap perjalanan dan kehidupan lima anak muda.

Oleh itu, dia yakin babak ‘kontroversi’ yang ada diharap tidak sedikit pun mengganggu perjalanan cerita.

Bumi Itu Bulat mengisahkan perjalanan sekumpulan anak muda iaitu Rahabi (lakonan Rayn Wijaya), Markus (Kenny Austin), Aldy Rialldy (Hitu), Qausar Harta (Sahid) dan Rania Putrisari (Tiara).

Mereka mempunyai impian untuk bergelar penghibur terkenal satu hari nanti. Menerusi penubuhan kumpulan yang diberi nama Rujak Acapella, mereka mempunyai hasrat bergelar penyanyi rakaman.

Dalam usaha menjadi penyanyi rakaman, mereka berdepan halangan apabila perlu mendapatkan seorang wanita iaitu Aisha (Febby Rastanti) untuk merealisasikan impian mereka itu.

FEBBY Rastanti bawa watak Aisha.

Aisha perlu ada bersama sebagai syarat wajib untuk menandatangani kontrak sebagai penyanyi rakaman. Timbul pelbagai konflik berikutan perbezaan agama yang dianuti masing-masing termasuk Aisha sendiri yang tidak akan bersama-sama penganut Kristian.

Malah hubungan sesama mereka mula renggang apabila Rahabi dilihat seperti menyokong tindakan Aisha.

Diarahkan oleh Ron Widodo filem ini turut menampilkan nama besar dalam dunia perfileman Indonesia seperti Christine Hakim, Matias Muchus, Ria Irawan dan Arie Kriting.

Bumi Itu Bukat bakal ditayangkan di Malaysia pada 18 April ini.

Sementara itu, Robert yang juga penerbit filem berkenaan berkata, filem ini dihasilkan bagi menyampaikan mesej kepada generasi muda supaya sentiasa mengamalkan sikap toleransi dalam berdepan pelbagai ragam manusia.

“Saya membesar di kawasan terdiri daripada pelbagai golongan dan latar belakang dan saya pelajari bahawa toleransi itu adalah antara kunci penting untuk hidup harmoni bersama-sama. Ia juga menjadikan kita lebih unik dan mampu menjadikan sesebuah negara maju,” katanya.

ANTARA babak membabitkan Rayn Wijaya (kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 5:01 AM