NAZIM turut diberi peluang membaca doa selepas solat secara bergilir ketika di lokasi penggambaran. FOTO Nik Hariff Hassan
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Nazim Othman memuji syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd yang mengadakan solat berjemaah di lokasi penggambaran setiap kali masuk waktu.

Nazim, 35, atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman mengakui perkara itu tidak pernah dirasai sepanjang berlakon dengan produksi lain.

“Ini produksi pertama saya bekerjasama dan buat solat berjemaah. Sebelum ini solat sendiri saja. Bagi saya ia berbalik kepada ketua.

“Kalau penerbit dan pengarah ajak kru serta pelakon solat berjemaah, kita nak cakap apa? Kena ikut. Walaupun ia tak nampak apa, tapi saya respek.

“Perkara baik seperti ini kita kena ‘highlight’. Bagi saya, ia membantu kelancaran kerja. Dalam pada sibuk bekerja, kita kena ingat Allah juga,” katanya kepada Harian Metro.

Nazim yang pertama kali bekerjasama dengan syarikat itu menerusi telefilem Silang baru-baru ini berkata, pengarah, Azman Yahya atau Jinggo dan penerbit, Sheila Rusly sangat menitik beratkan perkara itu.

“Mereka sangat titik beratkan solat berjemaah. Tapi tidak memaksa. Mereka hanya panggil untuk solat. Siapa nak, dia akan datang.

“Kalau tak datang, dia takkan tanya kenapa tak solat. Perkara seperti ini tak boleh paksa. Diri sendiri kena ada inisiatif dan perasaan nak buat juga.

“Sepanjang lapan hari terbabit, saya juga diberi peluang membaca doa selepas solat secara bergilir. Momen yang saya tak pernah dapat sepanjang terbabit dalam lakonan. Sebelum ini doa sendiri saja,” katanya.

Menurut Nazim, perkara itu sekali gus memberikan suasana harmoni sepanjang bekerja.

“Kita satu pasukan yang bekerja. Jadi semua bekerja dalam keadaan harmoni. Tak ada bermasam muka. Kita rasa sama saja semua, itu yang penting.

“Kenyataan saya ini bukan nak ‘kipas’ pun. Saya tak pandai nak ’kipas’. Malah, kalau di lokasi Sis (Sheila) siap panggil duduk dengannya. Sedangkan saya jenis bukan macam itu,” katanya yang berharap dapat bekerjasama dengan JS Pictures lagi.

Selain Nazim, Silang yang bakal ditayangkan di slot Cerekarama TV3 turut menampilkan pelakon Emma Maembong dan Jasmin Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 1:44 PM