Sudirman Mohd Tahir


“TERUJA nak tengok video penuh yang dikatakan kepunyaan saya. Kalau memang ada, tunjukkanlah. Kenapa keluarkan yang tangkap layar (screen shot) saja,” kata penyanyi Ismail Izzani mengenai penyebaran paparan skrin kononnya dia terbabit dalam rakaman video keterlaluan.

Ismail, 19, atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal Nazeri berkata, dia juga tidak tahu kenapa dirinya menjadi sasaran pihak terbabit selepas penyebaran video mirip penyanyi, Aiman Tino baru-baru ini.

Malah, Ismail yang popular menerusi lagu Luar Biasa yakin video disebarkan itu bukan miliknya.

“Saya pun tak tahu kenapa menjadi sasaran selepas Aiman Tino. Tak tahu nak cakap macam mana. Apabila saya tengok sendiri paparan skrin itu sangat kelakar.

“Saya pun sudah hubungi sendiri pengguna akaun Twitter itu untuk minta video penuh. Sebab apa yang disebarkan itu dalam bentuk paparan skrin dan gambar. Bagi saya ia tak cukup.

“Bukan saja saya, malah orang luar pun teruja nak tengok video itu. Tapi saya yakin, kalau mereka ternampak video itu nanti, insya-Allah mereka tahu ia bukan saya. Yang tak tahu, mungkin akan tetap cakap saya,” katanya kepada Harian Metro.

Ismail yang dilantik sebagai duta Setulus Ikhlas sepanjang Ramadan dan raya di TV3 berkata, dia tidak mahu mengambil tindakan terhadap pemilik akaun itu kerana menganggap ia bukan isu besar.

“Saya tak ambil tindakan berat sebab orang tahu ia tak betul. Bagi saya, peminat dan orang luar boleh beza sendiri.

“Sebab ia bukan masalah besar buat saya. Zaman sekarang apa saja boleh jadi. Dulu lagi sudah jadi perkara sebegini. Bagi saya, ini hanya permulaan dan kena sentiasa bersedia pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama, dia juga takut kerana apabila sampai tahap itu banyak lagi yang boleh berlaku pada masa depan sehinggakan orang boleh sunting dan sebar fitnah.

Ismail juga mengakui akan lebih berhati-hati selepas ini.

“Secara peribadi, perkara ini berat untuk saya. Tapi tetap kena lebih berhati-hati pada masa depan dan nak juga tengok video penuh.

“Mak saya tahu perkara ini dan dia gelak. Sebab tak tahu tandas mana yang orang itu sunting. Lain kali gunakanlah tandas elok sikit atau tandas hotel lima bintang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 4:11 PM
GAMBAR individu mirip Ismail Izzani yang berkelakuan tidak senonoh tular di media sosial.