AZMIRA teruja dapat menghiburkan peminat di Korea Selatan sambil membuat muzik video. FOTO Ihsan Azmira Arif
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Di sebalik kekurangan dirinya, penyanyi Azmira Arif bersyukur kerana masih mendapat perhatian beberapa pihak yang menawarkan peluang untuk membuat persembahan.

Terkini, Azmira yang tampil dengan single terbaru berjudul Pencinta Setia, dibawa ke Korea Selatan pada 7 hingga 12 April lalu bagi menghiburkan rakyat Malaysia di sana.

Azmira, 36, mengakui tidak menyangka dan terharu apabila menerima peluang sebegitu.

"Seorang usahawan wanita tempatan, tertarik melihat usaha saya yang tak jemu mencuba nasib dalam nyanyian.

"Dia seterusnya mengajak saya ke Korea dalam sesi lawatannya yang bertujuan mencari peluang untuk pasarkan produk halal di Korea.

"Saya bukan pergi makan angin semata-mata kerana di sana saya mengadakan persembahan untuk pelajar kita yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia dan wakil daripada stesen televisyen Korea iaitu TvM di satu majlis makan malam yang diadakan," katanya kepada Harian Metro.

Azmira berkata, rombongan mereka turut disertai oleh wakil TV3 yang mengambil kesempatan membuat rakaman berkenaan Islam di Korea.

"Melihat mereka, tercetus idea untuk saya buat muzik video di sana.

"Panorama di Korea memang indah kerana memilik banyak tempat yang cantik.

"Alang-alang berada di Pulau Nami, saya ambil kesempatan buat penggambaran muzik video lagu Pencinta Setia. Lagipun bukan selalu dapat peluang ke Korea," katanya.

Menurutnya, itu adalah penghargaan kedua terbesar dalam kariernya setakat ini selepas diundang membuat persembahan sempena Jubli Emas pemerintahan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Brunei pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 4:11 PM