Sudirman Mohd Tahir


SINGLE terbaru Datin Alyah berjudul Meluruh yang dilancarkan kelmarin ada kaitan dengan masalah rumah tangga dan hubungannya dengan suami yang pengkritik dan pengarah muzik popular, Datuk Ramli MS.

Alyah, 38, atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan berkata, lagu yang dirakam penghujung tahun lalu itu juga mewakili wanita yang melalui pengalaman sama sepertinya.

“Meluruh dihasilkan sebelum apa yang terjadi dalam rumah tangga saya hujung tahun lalu. Pada awalnya, saya menggambarkan kehidupan wanita yang berdepan masalah dengan pasangan dalam rumah tangga.

“Kebetulan, saya dikelilingi ramai wanita iaitu kawan, kakak dan kakak angkat yang menghadapi masalah rumah tangga atau hubungan dengan pasangan masing-masing. Dari situ saya belajar mengenal punca dan apa yang harus dimulakan.

“Nak diijadikan cerita, saya berjumpa Abang Slen (Roslen Fadzil) yang kemudiannya menulis lirik lagu ini. Mungkin sebab kami terlalu banyak berborak, maka terhasillah idea lirik ini. Lagu ini bukan saja untuk saya, tetapi kena dengan semua wanita yang melalui situasi sama,” katanya.

Alyah berkata, ketika merakamkan lagu ciptaan bersama Helen Yap itu, dia diduga dengan kemelut rumah tangga.

Malah, ketika proses rakaman Alyah tidak dapat menahan emosi dan perasaan itu dapat didengar dalam lagu itu.

“Setiap lagu saya diberikan 100 peratus perasaan. Ketika merakamkan Meluruh, saya menyanyikan dalam keadaan bergelut dari segi emosi.

“Ketika merakamkan lagu ini, terjadi masalah dalam rumah tangga saya. Ia memang tidak dijangka sama sekali. Namun, kehidupan perlu diteruskan dan saya anggap ia dugaan.

“Memang betul saya menangis. Memang sangat sukar nyanyi lagu ini. Bukan saja bergelut dari segi emosi, tapi juga mengenang nasib dalam industri muzik dan dalam masa sama kena tengking dengan peminat yang kadang-kadang agak keterlaluan. Jadi, apabila menyanyikan lagu ini, perasaan bercampur baur dan betul-betul memberi impak,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan suami, Alyah berkata Ramli mengetahui lagu itu.

“Saya rasa dia tahu semua lagu saya, cuma dia ada kerja sendiri dan tahu saya jenis yang macam mana. Malah, dia tahu sebelum berkahwin dengan saya pun, saya adalah ‘queen of ballad’. Jadi, dia tahu dan tak ambil kisah sangat.

“Sebelum apa yang terjadi, dia tahu saya sedang menyiapkan lagu ini. Dia pasti tahu setiap lagu saya, cuma bezanya kami bersaing dan bukan kawan dalam industri muzik,” katanya.

Lagu dan video audio rasmi Meluruh yang dilancarkan kelmarin itu mendapat sambutan luar biasa peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 4:04 PM
ALYAH sedang melancarkan single terbarunya. FOTO/IG ALYAH