SUFIAN Suhaimi.
SUFIAN Suhaimi.
Ardini Sophia Sina


KISAH peribadi bukanlah penyumbang utama membuatkan lagu Dimata Mu nyanyian Sufian Suhaimi mendapat jumlah tontonan paling tinggi di YouTube hingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai video muzik kategori lagu Melayu dan artis tempatan di laman sosial itu.

Lagu ciptaan Sufian dan Zynakal itu mencatat 56 juta tontonan di YouTube dan turut memecahkan rekod Aiman Tino menerusi lagu Ku Rela Dibenci dengan jumlah 43 juta tontonan.

Sufian, 27, ketika ditemui pada majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Record dan pelancaran lagu baru berjudul Mencuba berkata, cerita di sebalik lagu itu sendiri menjadi faktor pada kejayaan karya berkenaan.

“Cerita di sebalik lagu itu sendiri menjadi punca ia diterima umum. Malah, lirik serta melodi dan susunan muzik turut menjadi penggerak kepada kisah yang ditonjolkan dalam lagu berkenaan.

“Setiap kali tampil dengan lagu baru, saya akan pastikan kualiti itu memenuhi piawaian yang ditetapkan. Sama ada berjaya atau tidak, itu adalah misteri yang tidak dapat diramal,” katanya.

Sufian yang tampil dengan lagu Mencuba terus-menerus dikaitkan dengan kisah putus tunang dengan pelakon Elfira Loy dan didakwa belum ‘move on’ apabila diselitkan babak menaiki helikopter dalam video muzik berkenaan.

Sufian berkata, dia tidak kisah apabila masih ada yang menganggap dia masih hidup dalam kenangan lalu dan mengaitkan lagu itu dengan memori pahit.

“Saya faham apabila ada yang cakap saya tak ‘move on’ dengan kehidupan peribadi. Tetapi, itu bukanlah fokus utama. Ia sekadar elemen untuk menarik umum menonton video muzik itu.

“Apa yang orang perkatakan itu hanya pada satu babak dan bukannya keseluruhan cerita. Kalau lihat menyeluruh, mungkin orang akan faham dan boleh buang stigma masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:57 PM