BELLA mengakui masih belum lagi tinggal sebumbung dengan Aliff. FOTO: Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin


“SAYA tidak fikir perceraian jalan terbaik buat masa ini. Selagi ada kesabaran, saya akan mempertahankan ikatan ini kerana kami ada anak,” kata penyanyi Bella Astillah.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 25, berkata, dia masih sayang rumah tangga yang dibina bersama penyanyi dan pelakon Aliff Aziz.

“Perceraian bukan jalan mudah dan satu penyelesaian. Kini, saya jalani saja hidup seperti biasa.

“Dalam keturunan keluarga saya pun tidak ada yang bercerai-berai. Ibu bapa saya, hingga kini masih bahagia walupun sudah lebih 25 tahun hidup bersama.

“Jadi, kebahagian mereka (ibu bapa) sangat saya kagumi dan jadikan inspirasi. Ditambah lagi, memang impian saya berkahwin sekali seumur hidup.

“Siapa lelaki yang saya kahwini, biarlah dia menjadi yang pertama dan terakhir dalam hidup ini,” katanya.

Menurut Bella, anaknya Mohamad Ayden Adrean yang berusia dua tahun juga sangat rapat dengan Aliff.

“Saya juga ada berkomunikasi dengan Aliff menerusi panggilan video untuk Ayden. Ini kerana, saya tak mahu pentingkan diri.

“Kebahagian anak saya lebih utama sekarang. Saya tidak mahu dia kehilangan atau kekurangan kasih seorang bapa,” katanya.

Mengakui masih belum lagi tinggal sebumbung, Bella berkata mereka bagaimanapun dalam proses untuk kembali hidup bersama.

Terdahulu, Bella ditemui pada majlis persembahan amal di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Bella Aliff jadi perhatian selepas dia mendedahkan kecurangan suaminya dengan seorang pelakon baharu, Oktavia Manrose menerusi laman Instagram pada Februari lalu.

Itu bukan kali pertama Aliff didedah curang kerana sebelum itu, kes sama berlaku di antaranya dengan adik Anzalna Nasir, Afifah Nasir.

Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 6:06 PM