PENONTON dan peminat bergambar sempena tayangan filem Avengers: Endgame Marvel Studios di MBO The Starling Damansara. FOTO Supian Ahmad
Georgie Joseph


FILEM Avengers: Endgame mencipta rekod pecah panggung apabila meraih jualan kira-kira RM5.9 billion dalam tempoh lima hari tayangannya jauh lebih pantas berbanding rekod jualan Avengers: Infinity War.

Keuntungan diraih termasuklah kutipan di Amerika Syarikat berjumlah RM1.4 billion manakala untuk kutipan seluruh dunia adalah RM3.5 billion. Sekali gus Marvel Studio terus mengekalkan momentum mendapat pulangan luar biasa menerusi filem adiwira mereka sejak 2009.

Filem terakhir Marvel Studios yang menjalani proses memasukkan suara fasa ketiga untuk karakter sedia ada serta pengembangan plot sinematik alam semesta itu dijangka mengutip jualan sekitar RM13.5 billion.

Avengers: Endgame berjaya mengutip keuntungan berbillion dalam tempoh lima hari manakala Avengers: Infinity War meraih keuntungan sama dalam tempoh 11 hari.

Pengerusi The Walt Disney Studios, Alan Horn berkata, pencapaian itu hasil kerja keras serta visi semua yang terbabit untuk menjadikan filem Marvel paling berjaya.

“Kevin Feige dan pasukan Marvel Studios terus mencabar diri untuk melakukan segala yang tidak mustahil ditayangkan di panggung wayang daripada segi jalan cerita.

“Meskipun Endgame bukanlah penghujung kepada Marvel Cinematic Universe, 22 filem terdahulu terus melakar pencapaian luar biasa. Hujung minggu lalu, kejayaan Endgame menjadi bukti kepada semua yang terbabit temasuklah peminat seluruh dunia,” katanya.

Tayangan di China menjadi kunci besar kepada kejayaan rekod kutipan berkenaan apabila meraih keuntungan hampir sama dengan Amerika Syarikat (AS). Kutipan berjumlah RM1.4 billion itu sekali gus menjadikan Endgam filem pecah panggung di China.

Kutipan untuk filem berkenaan dijangka akan terus mencanak dan meraih keuntungan luar biasa seluruh dunia.

Setakat ini, kesemua 22 filem Marvel Cinematic Universe mengutip keuntungan kasar sekitar RM82 billion untuk filem pecah panggung seluruh dunia. Untuk empat filem Avenger saja, keuntungan diraih kira-kita RM26 billion.

Avengers: Endgame dibintangi Robert Downey Jr,Chris Evans, Mark Ruffalo, Chris Hemsworth, Scarlett Johansson, Brie Larson, Jeremy Renner, Don Cheadle, Paul Rudd, Brie Larson, Karen Gillan, Danai Gurira, Chadwick Boseman, Bradley Cooper dan Josh Brolin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 11:28 AM