X
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular Khai Bahar muncul juara Toyota Gazoo Racing Malaysia 2019 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

Khai, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin memenangi perlawanan itu selepas berjaya memintas kereta dipandu penyanyi Wany Hasrita pada pusingan kelapan.

Khai menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 27:21 saat sekali gus menewaskan lapan pelumba selebriti lain iaitu Wany Hasrita, Akio Takeyama, Aiman Tino, Akim Ahmad, Diana Danielle, Nabil Ahmad, Nabila Razali dan Janna Nick.

“Saya tidak sangka boleh menang. Tiga perlumbaan sebelum ini saya tidak mendapat sebarang tempat. Malah, catatan masa pun jauh berbeza.

“Semalam, syukur nasib berpihak kepada saya untuk menang. Ini juga kali pertama saya memang sepanjang perlumbaan musim kedua ini.

“Saya menganggap tiga perlumbaan sebelum ini belum ada rezeki selain menjadikan ia sesi memanaskan badan untuk memberikan yang terbaik dalam perlumbaan terakhir semalam,” katanya kepada Harian Metro.

Khai mengakui, sepanjang menyertai perlumbaan itu dia tidak memikirkan soal menang atau berada di kedudukan top 3.

Apa yang Khai inginkan adalah menamatkan perlumbaan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kemalangan dan kecederaan.

“Dari segi persiapan, apa yang penting adalah cukup tidur, makan, minum dan rehat. Mental juga kena kuat.

“Sebelum perlumbaan, saya hanya banyakkan berdoa supaya tidak berlaku kemalangan atau perlanggaran dengan pelumba lain. Saya tidak fikir pun soal nak menang. Asal dapat habiskan perlumbaan dengan selamat pun sudah memadai.

“Bagi saya, perlumbaan ini lebih kepada kemahiran pemanduan. Kalau boleh pintas, pintas. Jika tidak, biarkan saja. Nanti ia akan membuatkan kita tertekan dan ‘struggle’.

“Macam semalam, saya berasakan mampu dan ada peluang pintas Wany. Itu yang saya cuba dan akhirnya berjaya hingga ke garisan penamat,” katanya.

Menurut Khai, kehadiran peminat di litar yang terdiri daripada ahli kelab peminatnya, Khai Bahar Empire menjadi pendorong untuknya muncul juara.

“Saya bukan pelumba, jadi saya tidak mahu meletakkan sebarang harapan. Cuma, kehadiran peminat sedikit sebanyak memberikan semangat untuk saya. Alhamdulillah atas rezeki ini.

“Jika ada musim ketiga, kalau diberikan peluang lagi saya takkan tolak. Bagi saya, ini pengalaman yang sangat berharga dan susah nak dapat lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 11:08 PM
KHAI Bahar bersama trofi dimenanginya dalam acara Toyota Gazoo Racing Malaysia 2019.
KHAI Bahar bersama trofi dimenanginya dalam acara Toyota Gazoo Racing Malaysia 2019.