FADZIL malu dan tak pernah 'menjual' adegan lucah mahupun seks untuk melariskan drama terbitan. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri


PENERBIT, Fadzil Teh meluahkan rasa kecewanya apabila pengarah, Azmi Hatta mewujudkan adegan lucah dalam drama bersiri Voice Note yang mula ditayangkan pada Isnin lalu.

Menurut Fadzil yang juga Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd, syarikat produksinya tidak pernah 'menjual' adegan lucah untuk melariskan drama.

"Sebagai penerbit, saya malu dan tak pernah 'menjual' adegan lucah mahupun seks untuk melariskan drama terbitan syarikat kami," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, Azmi sebagai pengarah tentunya sedia maklum mengenai babak yang boleh dan tidak boleh dipertontonkan di televisyen.

"Ini adalah drama misteri dan mencemaskan. Bukan drama seks. Dia sendiri sebagai pengarah pun tentunya sedia maklum bahawa adegan yang keterlaluan sebegitu, tidak akan lepas untuk siaran di Malaysia," katanya.

Fadzil atau lebih mesra disapa sebagai Haji Zil juga menasihatkan pelakon baru supaya berhati-hati dan menolak adegan yang keterlaluan.

"Saya bersimpati dengan pelakon baru yang ikut saja cakap pengarah. Bila saya tanya kenapa mereka buat adegan begitu, kata mereka, itu adalah arahan daripada pengarah.

"Nasihat saya kepada pelakon baru terutamanya pelakon wanita, hati-hati dan tolak sekiranya ada adegan seks yang terlalu mendedahkan tubuh dan tidak ada kaitan dengan jalan cerita," katanya.

Penulis skrip drama Voice Note, Marr Mohamad berkata, adegan sebegitu memang ada di dalam skrip, namun bergantung kepada kreativiti pengarah untuk menterjemahkannya dalam bentuk visual.

"Adegan itu memang ada di dalam skrip. Apa yang boleh saya katakan, semuanya bergantung kepada kreativiti pengarah bagi menghasilkan babak terbabit dalam bentuk visual yang sesuai untuk tontonan umum," katanya.

Adegan lucah dan terlalu intim itu membabitkan dua pelakon iaitu Ikmal Amry dan Scha Elinnea, namun dipotong kerana tidak melepasi proses penapisan.

Harian Metro cuba menghubungi Azmi Hatta untuk mendapatkan penjelasan, namun gagal.

Drama Voice Note yang ditayangkan di TV3 pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Sharifah Sakinah, Shasha Abedul, Amelia Henderson dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 7:55 PM