ANTARA contoh iklan yang menggunakan gambar Azhan serta Noorkhiriah untuk melariskan produk. FOTO Instagram Azhan Rani
ANTARA contoh iklan yang menggunakan gambar Azhan serta Noorkhiriah untuk melariskan produk. FOTO Instagram Azhan Rani
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON Azhan Rani mendedahkan ramai pemilik produk memohon maaf kepadanya susulan tindakan mereka menyalahguna foto dirinya sebagai watak Ustaz Hamadi daripada drama Nur dan Nur 2 lalu untuk melariskan produk.

"Walaupun bukanlah isu besar negara pun, tetapi aku anggap perkara ini sudah selesai. Rata-rata pemilik produk dah pun buat permohonan maaf.

"Ada yang DM (mesej langsung) senyap-senyap, ada yang 'publish' (siarkan) terus di media sosial. Insya-Allah, setulus ikhlas aku maafkan," tulis Azhan di laman sosialnya, semalam.

Katanya, dia tidak akan mengambil tindakan undang-undang walaupun ada yang menawarkan diri mahu membawa kes itu ke muka pengadilan.

Pelakon itu berkata, matlamat utama dia menegur sikap tidak bertanggungjawab segelintir penjual menyalahguna foto artis untuk melariskan produk sebelum ini adalah untuk mewujudkan kesedaran dan menghormati hak orang lain.

"Pentingnya minta izin, nak guna gambar tu tak salah. Bukan gambar aku saja, gambar siapa saja asalkan minta izin dan tuan punya tahu terlebih dulu.

"Kalau betul caranya (minta) izin tu, boleh saja bagi percuma. Itu saja 'point' aku," katanya yang berharap teguran itu adalah terakhir daripadanya.

Dia bagaimanapun meminta maaf kepada pemilik produk yang menawarkan produk percuma kepadanya sebelum ini.

Katanya, dia tidak boleh menerima tawaran itu kerana mendakwa ia lari daripada tujuan asalnya.

Dia cuma berharap peniaga supaya menyampaikan kesedaran itu kepada semua wakil penjual dan pelanggan mereka.

"Buat yang menggelabah 'cipan' nama produk mereka terpampang di dalam 'posting' aku (kelmarin), maaf aku kena buat macam tu dan sebab itulah pemilik produk kalian sudi 'reply' aku.

"Insya Allah, mereka janji untuk memberi kesedaran kepada ejen produk mereka," katanya.

Dia berharap mereka tidak mensia-siakan ilmu berguna itu ke dalam latihan keusahawanan dan beringat apa saja tindakan mereka akan kesan kepada ejen lain dan produk sendiri.

Sejak beberapa hari lalu, Azhan dilihat menegur dan mengecam tindakan segelintir peniaga yang secara terbuka mengambil kesempatan dengan menyalahguna foto watak Ustaz Hamadi untuk melariskan produk mereka, di media sosial.

Antara jenis produk yang dikesan Pelakon Terbaik Anugerah Drama Festival KL 2018 lalu itu adalah penjual produk penapis air, serum kecantikan dan bantal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 3:24 PM