A AIDA kali pertama menulis lagu berkonsepkan ketuhanan. FOTO Arkib NSTP
A AIDA kali pertama menulis lagu berkonsepkan ketuhanan. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PENERBIT terkenal Datuk A Aida berkongsi lirik lagu terbaru nukilannya, Maafkanlah nyanyian Syamel ditujukan buat pengguna laman sosial bermulut 'puaka' yang memaki dirinya berikutan isu bakat dan rupa baru-baru ini.

Aida, 49, atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata, lagu dan lirik berkonsepkan ketuhanan itu sesuai dengan sikap mereka yang suka bercakap dan melabel seseorang dengan apa saja panggilan sesuka hati.

"Ini kali pertama saya menulis lagu berkonsepkan ketuhanan. Ilham datang ketika isu rupa dan bakat hangat diperkatakan.

“Diakui memang ramai yang kutuk dan menghina saya di ruangan komen Instagram. Hinggakan saya ambil pendekatan menyekat mereka.

"Bagi saya apa yang ditulis sangat keterlaluan. Mereka cakap saya sial, betina gila dan macam-macam lagi hinaan dilemparkan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, apa yang membuatkan dia sedih adalah mereka menulis seolah-olah tidak ingat Tuhan.

"Menerusi lirik lagu ini saya mengharapkan mereka diberikan hidayah supaya tidak lagi bercakap hal orang.

“Paling penting kena sentiasa beringat dan jangan cakap sesuka hati. Ingat balasan di akhirat kelak," katanya.

Sebelumnya, Aida menghasilkan lirik lagu Kisah Cinta Kita nyanyian Hafiz Suip hingga tular dan menjadi perhatian ramai.

"Alhamdulillah, sekarang ini banyak pula ilham menulis lirik. Macam lirik sebelum ini, saya dapat idea ketika pergi bercuti.

"Sekarang sudah ada beberapa koleksi lirik lagu. Insya-Allah, ia akan dinyanyikan oleh beberapa penyanyi terkenal tanah air," katanya.

Lagu Maafkanlah ciptaan Omar K turut menjadi lagu tema drama Iktibar yang disiarkan pada setiap Sabtu, jam 9 malam di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 4:39 PM