NIZAM menyerahkan sumbangan kepada Eddie Slam sambil diperhatikan rakan-rakan artis. Foto Nizam Laksamana
Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI Nizam Laksamana menzahirkan hasrat mahu menubuhkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi membantu rakan-rakan artis serta golongan memerlukan.

Nizam, 53, berkata, usaha itu bermula apabila dia menganjurkan Showcase Amal Artis Lagenda 90-an membariskan Ameng Spring, Bagio Damasutra, Amir Ukays, Gmie Screen, Ringgo Arrow, Tiar Jinbara dan Zamani Slam pada 22 Februari lalu.

“Alhamdulillah, showcase ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat. Sebahagian daripada kutipan saya agihkan kepada rakan-rakan artis dan keluarga mereka yang memerlukan iaitu Julia Bachok (isteri Allahyarham Saleem), penyanyi Mamu Abas, cucu Malek Zabarjad, Rashib Rasta (Ekamatra) dan Eddie (Slam).

“Sumbangan yang diberikan tidaklah seberapa tetapi dapat meringankan beban mereka untuk menanggung pelbagai kos terutamanya perubatan.

“Apapun, saya dapati mereka yang menerima amat terharu dan bersyukur mendapat perhatian sedemikian rupa daripada saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nizam, dia kini dalam proses mendokumentasi beberapa perkara seperti syarat ditetapkan dan kemudiannya akan ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi tujuan ini.

“Tujuan saya wujudkan NGO untuk memudahkan menganjurkan apa sahaja program amal, komuniti masyarakat dan tanggungjawab sosial.

“NGO memang ada peruntukan tertentu daripada kerajaan dalam bentuk dana sekali gus memudahkan program yang akan dibuat.

“Ahli-ahli dalam NGO ini akan ditentukan kemudian tetapi saya sudah mengenal pasti tiga individu yang akan terbabit dalam pengurusan,” katanya.

Nizam menjelaskan dia akan terus memantau dan memberi bantuan kepada penggiat seni yang sakit dan tidak berupaya mencari rezeki.

“Kemungkinan besar saya akan fokus kepada bantuan seperti dilakukan sebelum ini. Saya juga akan mengajak beberapa rakan artis yang ikhlas dan jujur membantu sesama insan seni bagi menyertai NGO ini. “Banyak agenda yang bermain dalam fikiran saya sekarang bagi mencari dana untuk NGO ini antaranya menganjurkan showcase membabitkan ramai artis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 4:45 PM