BERUSAHA belajar dan baiki bacaan dengan membacanya setiap hari sepanjang Ramadan.
Rudy Imran Shamsudin


SEPANJANG Ramadan ini, pelakon popular, Lisa Surihani berusaha untuk khatam al-Quran dan aktiviti itu sudah mula dilakukan sejak dua tahun lalu.

Lisa berkata, keinginan itu mula timbul selepas melihat abangnya berjaya khatam al-Quran pada Ramadan dua tahun lalu.

“Usaha ini saya lakukan supaya dapat melatih diri untuk membaca al-Quran dengan baik. Saya akui tidak begitu lancar membaca al-Quran, bagaimanapun, berusaha untuk belajar dan memperbaiki bacaan dengan membaca setiap hari,” katanya.

Menurut Lisa, perkara itu tidak mudah dilakukan memandangkan sebagai wanita ada halangan yang menyebabkan dia tidak boleh membaca al-Quran.

Dalam menghayati kalam Allah, Lisa turut memberi penekanan kepada maksud bagi setiap ayat yang dibaca.

“Al-Quran yang saya baca ini agak lengkap kerana ia ada tanda di bahagian tepi yang membimbing pengguna atau pembacanya bagaimana hendak membaca ayat dengan baik dari sudut hukum juga harakat bacaan,” katanya.Menurutnya, dia tidak memaparkan atau berkongsi bacaannya di laman sosial kerana tidak mahu netizen terpengaruh dengan bacaannya yang kemungkinan ada kesilapan.

Bagaimanapun, dia sering berkongsi makna yang membawa maksud besar dalam setiap ayat yang dibaca. Selain membaca al-Quran, Lisa juga tidak ketinggalan melaksanakan ibadat sunat.

Pendek kata, sebagai hamba-Nya, Lisa sebaik mungkin cuba meraih seberapa banyak pahala sepanjang Ramadan.

“Kebetulan rumah dekat dengan surau dan sesekali apabila berkesempatan saya akan menunaikan solat secara berjemaah,” katanya.

Pastinya aktiviti ini turut dikongsi Lisa dengan dua cahaya matanya Yahaira Leanne dan Yusof Leonne.

Bercerita mengenai perkara itu, kata Lisa, setakat ini anak sulungnya Yahaira, 3, sering mengikut apa yang dilakukan terutama solat.

LISA turut memberi penekanan kepada maksud bagi setiap ayat yang dibaca. FOTO: Nur Adibah

“Apabila nampak saya memakai telekung, dia akan datang dan bertanya kepada saya bolehkah dia sembahyang bersama.

“Melihatkan keletahnya itu kadang-kadang ia menjadi cabaran dan dugaan. Bayangkan setiap kali hendak rukuk atau mahu sujud dia akan pandang dan lihat saya sebelum mengikut dan melakukan tertib dalam solat.

“Begitu juga dengan bacaan. Apabila kita membaca ayat dalam solat kedengaran seperti kita berbisik, jadi apabila dia mendengar, Yahaira akan cuba meniru dan mengeluarkan bunyi seperti dia sedang membaca sesuatu dalam nada berbisik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 4:30 AM