A Rahman (tengah) bersama isterinya Fadilah Mansor (dua dari kiri) menerima kunjungan Pengerusi YKAT Datuk DJ Dave (dua dari kanan) dan kenalan rapatnya di HKL hari ini. FOTO: Datuk DJ Dave


PENYANYI popular era 60 -an, Datuk A Rahman Hassan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3.30 pagi tadi akibat masalah jantung.

A Rahman ketika dihubungi, bagaimanapun menafikan dia mengalami serangan jantung kritikal, sebaliknya doktor memaklumkan badannya kurang rehat dan mengalami tekanan.

“Petang semalam saya ke HKL untuk membuat pemeriksaan kesihatan, namun selepas membuat beberapa ujian saya ditahan wad sekitar jam 3.30 pagi.

“Doktor memberitahu keadaan jantung saya lemah akibat kurang rehat serta mengalami tekanan. Disebabkan itu, saya jadi cepat penat,” katanya.

Menurut A Rahman, dia bersyukur keadaan kesihatannya beransur baik dan berharap dapat pulang ke rumah sebelum Aidilfitri.

“Saya tak boleh banyak bergerak kerana mudah letih. Jadi saya perlukan rehat yang secukupnya. Saya berharap dapat pulang ke rumah sebelum raya. Doakan keadaan kesihatan saya kembali baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave yang melawat A Rahman memaklumkan keadaan kesihatan penyanyi itu semakin pulih.

“Kita doakan semoga beliau cepat sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 3:37 PM