IZZUE Islam berkongsi gambar majlis pernikahannya dengan Awin sempena ulangtahun ketujuh. FOTO Instagram Izzue Islam
IZZUE Islam berkongsi gambar majlis pernikahannya dengan Awin sempena ulangtahun ketujuh. FOTO Instagram Izzue Islam
Ramlah Zainal


“WAHAI peneman hati, saat pertama kali dahimu kucium, itu adalah paling indah yang tertanam dalam hidupku.

“Happy 7th Anniversary @awinnurin 2013 - 2019 ,” kata pelakon popular Izzue Islam, 28, sempena menyambut ulang tahun perkahwinannya dan isteri, Awin Nurin, 35, yang ketujuh hari ini.

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan, menerusi laman Instagram miliknya, terlalu banyak dugaan yang mereka tempuhi bersama untuk mengekalkan rumah tangga dibina itu hingga ke hari ini.

“Bukan sedikit pengorbanan yang kami lakukan demi mengejar secebis kebahagiaan yang diimpikan.

“Kita juga pekakkan telinga dengan kata-kata dan mulut orang, malah ikatan yang dibina ini semakin erat terikat,” tulisnya.

Katanya, dia juga sangat mengagumi isterinya itu kerana Awin wanita yang kuat dan hebat.

“Setiap kali terjaga dari tidur, aku bersyukur kerana masih lagi bernafas dan mampu melihat senyumanmu sayang.

“Terima kasih kerana sentiasa menghiasi wajahmu dengan senyuman kerana senyumanmu itu penambat hatiku,” luahnya.

Rata-rata pengikutnya di laman Instagram turut mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiaan rumah tangga pasangan itu berkekalan hingga ke akhir hayat.

Izzue dan Awin berkahwin pada 2 Jun 2013 selepas bercinta selama lima tahun.

Namun, rumah tangga yang dibina selama tujuh tahun itu masih belum dikurniakan cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 6:03 PM